SIDANG KEMUNCAK EKONOMI MALAYSIA 2021
PETALING JAYA: Bantuan yang disalurkan kerajaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu berdasarkan kategori.
Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan Profesion Malaysia, Datuk Azlin Ahmad Sharhabi berkata, ini kerana setiap PMKS mempunyai masalah tersendiri.
“Dengan segala bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan, PKMS kini masih mempunyai masalah aliran tunai dan kekurangan sumber.
“Sebagai contoh, PMKS dalam industri perhotelan dan spa telah terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 mula melanda kerana kekurangan pelanggan berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 anjuran Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) secara maya, hari ini.
Namun, katanya, terdapat juga PMKS yang masih boleh bertahan sehingga kini mungkin kerana terdapat permintaan untuk produk yang diniagakan.
Justeru, jelasnya, solusi untuk setiap kategori yang berbeza-beza itu perlu disediakan bagi membantu mereka untuk terus bertahan.
“Perniagaan tidak formal juga memerlukan bantuan daripada kerajaan supaya mereka juga boleh meneruskan kelangsungan hidup,” jelas Azlin.
Azlin adalah antara panelis pada sesi bertajuk PMKS – Penyusunan Semula Solusi untuk Syarikat Kecil.
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Bisnes Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Sohail Ahmed berkata, antara masalah yang dihadapi oleh PMKS sekarang adalah aliran tunai, rantaian bekalan serta akses kepada pakej rangsangan yang ditawarkan oleh kerajaan.
“PMKS perlu mencari produk yang inovatif dan platform pemasaran yang lebih baik untuk kekal berdaya tahan dalam waktu yang sukar ini.
“Antara perkara yang boleh dilakukan ialah mempelbagaikan perniagaan di platform dalam talian serta mengubah pakej produk dengan saiz yang lebih kecil,” katanya yang merupakan antara panelis untuk sesi itu.
Bagi masalah akses kepada bantuan yang ditawarkan kerajaan, beliau berkata, ia memerlukan terlalu banyak dokumen dan proses yang lama untuk diluluskan oleh pihak bank. Oleh itu, proses tersebut perlu dikurangkan bagi membantu PMKS yang terkesan dengan kadar yang cepat.
Selain itu, jelasnya, bekerjasama dengan syarikat teknologi kewangan (fintech) juga akan membantu perniagaan mengharungi pandemik ini.
Mengulas lanjut, Sohail memberitahu, pihak bank sepatutnya memainkan peranan penting untuk membantu PMKS dan berunding semula dengan mereka tentang masalah aliran tunai dan pinjaman yang dihadapi.
“Kadar faedah yang diberikan haruslah lebih rendah dengan jangka masa yang panjang,” jelasnya. – UTUSAN










