90 peratus kakitangan MAHB di KLIA telah divaksin - Utusan Malaysia

90 peratus kakitangan MAHB di KLIA telah divaksin

Pembukaan PPVKLIA memudahkan proses pemberian vaksin kakitangan dan pekerja di lapangan terbang itu dilakukan. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus kakitangan Malaysia Airports Hodings Berhad (MAHB) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah divaksin sejak pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di lapangan terbang berkenaan minggu lalu.

Menurut MAHB, usaha berterusan sedang dijalanakan untuk memvaksin komuniti KLIA selebihnya terdiri daripada pekerja agensi kerajaan berkaitan, pekerja syarikat penerbangan, kargo, perkhidmatan pembersihan dan lain-lain.

“Bukan itu sahaja, lebih 80 peratus daripada kira-kira 8,500 kakitangan MAHB yang layak di seluruh negara juga telah menerima dos pertama vaksin.

“Seramai kira-kira 22,000 pekerja sektor penerbangan dan berkaitan di KLIA yang layak dijangka menerima vaksin mereka sehingga akhir September ini,” katanya dalam kenyataan.

PPVKLIA telah dibuka atas keprihatinan dalam memastikan komuniti lapangan terbang yang juga merupakan barisan hadapan kekal selamat.

Ia hasil usahasama MAHB bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Protect Health, Airline Operators Committee (AOC) dan Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM) serta telah menerima sambutan menggalakkan daripada pekerja sektor penerbangan.

Sementara itu, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, inisiatif itu diambil kerana walaupun sempadan negara masih ditutup, lapangan terbang kekal beroperasi seperti biasa dan keselamatan komuniti lapangan terbang menjadi keutamaan syarikat berkenaan.

Katanya, beliau bangga dengan sikap komuniti lapangan terbang yang rata-rata tidak teragak-agak tampil untuk menerima vaksin bersandarkan rasa tanggungjawab mereka terhadap keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Pelaksanaan inisiatif ini penting kerana kita perlu memastikan yang operasi lapangan terbang tidak terjejas.

“Di samping itu, kita juga perlu membuat persediaan agar keselamatan di lapangan terbang berada di tahap tertinggi terutama apabila kita memasuki fasa pemulihan. Ini akan membantu dalam meningkatkan keyakinan di kalangan pengembara dalam sektor pengangkutan udara,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) yang telah memberi sokongan padu kepada MAHB. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN