“Walaupun singkat, ia berharga” - Wan Zulkiflee - Utusan Malaysia

“Walaupun singkat, ia berharga” – Wan Zulkiflee

WAN ZULKIFLEE WAN ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menghormati keputusan yang dicapai ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) ExxonMobil minggu lalu yang tidak melantiknya semula dalam lembaga tersebut.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas itu merupakan antara tiga pengarah yang tidak dilantik semula menganggotai lembaga pengarah, di sebalik tekanan oleh pemegang saham diketuai aktivis dana lindung nilai, Engine No. 1 supaya syarikat minyak terkemuka dunia itu bersedia ke arah masa depan bebas karbon.

Wan Zulkiflee dalam satu kenyataan berkata, beliau amat berbesar hati telah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah ExxonMobil yang sangat berprestij itu.

“Di sebalik tempoh keanggotaan saya yang singkat, saya melihat peluang yang diberikan itu adalah pengalaman berharga dengan syarikat tenaga terkemuka dunia,” katanya.

Wan Zulkiflee turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga pengarah sepanjang empat bulan berkhidmat dengan syarikat minyak utama itu.

Malah, beliau juga memuji komitmen dan profesionalisme pengurusan dalam memimpin ExxonMobil dalam aspirasinya memenuhi keperluan tenaga dunia dengan bertanggungjawab, yang disifatkan satu usaha yang juga dekat di hatinya.

“Saya amat memahami sepenuhnya keperluan untuk menghormati keputusan AGM, yang mana menyaksikan tiga anggota tidak dilantik semula dalam lembaga pengarah.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan yakin bahawa mereka akan memberikan panduan dan bimbingan kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi ExxonMobil, Darren Woods dan pasukannya dalam menempuh masa yang mencabar ini,” jelasnya.

Beliau telah dilantik ke jawatan tersebut pada 2 Februari lalu dan merupakan rakyat pertama bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) yang menganggotai lembaga tersebut dalam sejarah penubuhannya.

Wan Zulkiflee dilantik selepas kumpulan itu dikritik hebat bahawa pengarah-pengarahnya kurang berpengalaman dalam sektor tenaga.

Apabila ExxonMobil mengumumkan keputusan awal AGM pada 2 Jun lalu, beliau bersama bekas ketua pegawai eksekutif Metlife, Steven Kandarian dan ketua pegawai eksekutif IBM, Samuel Palmisano termasuk seorang ahli lembaga pengarah yang telah lama berkhidmat turut dikeluarkan daripada kerusi lembaga itu.

Beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) serta pengerusi DRB-Hicom Berhad.

-Habis 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya