ALOR SETAR: Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan pelabuhan baharu di Yan dekat sini menjadi antara faktor kejayaan Kedah mencatat nilai pelaburan tertinggi diluluskan di Malaysia yang mencecah RM68.4 bilion bagi suku pertama tahun ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain itu, beberapa tarikan lain seperti kemudahan dan infrastruktur yang sesuai, sifat mesra pelabur dan kestabilan politik negeri, turut membantu menambah keyakinan pelabur.
“Dalam masa sama, kita memiliki pengurusan yang cekap dan inovatif dalam menguruskan kemasukan pelabur seperti di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Badan Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Invest Kedah Berhad serta agensi-agensi kerajaan lain.
“Insya-Allah akan ada banyak lagi taman industri yang akan dibuka antaranya Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) dan lain-lain.
“Peranan besar dimainkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), kita yakin pelaburan di Kedah akan lebih meningkat pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kelmarin mengumumkan lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur menyumbang RM68.4 bilion atau 84.9 peratus kepada jumlah pelaburan keseluruhan di negara ini bagi tempoh Januari hingga Mac 2021.
Kedah berada di kedudukan teratas dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM43 bilion dan jumlah itu nyata jauh meninggalkan negeri-negeri lain termasuk Selangor yang berada di kedudukan kedua dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.6 bilion.
Sarawak berada di kedudukan ketiga dengan jumlah pelaburan sebanyak RM6.9 bilion diikuti Sabah (RM5 bilion) dan Wilayah Persekutuan (RM4.9 bilion).
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri dalam masa sama berterima kasih kepada semua pelabur yang menaruh keyakinan tinggi terhadap Kedah walaupun seluruh dunia ketika ini masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Pencapaian ini merupakan sesuatu yang menakjubkan dalam suasana suram dihadapi seluruh dunia, kesan daripada Covid-19.
“Apa yang direkodkan bagi suku pertama 2021 adalah pelaburan dalam beberapa projek berimpak tinggi awal tahun ini. Insya Allah bersandarkan perancangan semasa, nilai ini akan boleh meningkat lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










