KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM19.29b - Utusan Malaysia

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM19.29b

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Ekuiti yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, instrumen Pendapatan Tetap menyumbang RM3.92 bilion manakala Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan suku pertama KWSP disokong pemulihan ekonomi global sejak separuh kedua tahun lalu. 

“KWSP yakin pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan trend positif dalam pasaran ekuiti. KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Akhir Mac lalu, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, dengan 36 peratus diperuntukkan dalam pasaran luar negara. 

Diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dan dalam tempoh sama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutama oleh ekuiti luar negara.

Berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan diikuti ekuiti (44 peratus), hartanah dan infrastruktur (empat peratus) dan pasaran wang (enam peratus).

Portfolio ini mencerminkan strategi diversifikasi KWSP untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar.

Setakat ini juga, sejumlah RM50.93 bilion telah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion telah dibayar kepada 5.27 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

Amir Hamzah menegaskan, pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang mantap berpandukan SAA berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar ke atas portfolio KWSP, yang membolehkan prestasi yang kukuh dalam waktu yang mencabar ini dikekalkan. 

“Ini membuktikan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan mereka, dan pada masa yang sama memastikan keperluan jangka pendek mereka dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang.

“Walaupun KWSP kekal berhati-hati dalam menghadapi suku seterusnya, kami ingin meyakinkan ahli bahawa KWSP akan terus mengambil langkah-langkah wajar bagi melindungi simpanan persaraan melalui pelaksanaan rangka kerja tadbir urus yang mantap, demi memastikan mandat dan sasaran strategik untuk memberi ahli sebuah persaraan yang mampan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya