PETALING JAYA: Astro dan Netflix mengumumkan pemeteraian perjanjian strategik yang akan membawakan perkhidmatan penstriman terkenal Netflix ke platform Astro, sekali gus memberikan pengalaman hiburan luar biasa kepada para pelanggan Astro.
Pelanggan Astro bakal menikmati akses untuk menonton Netflix menerusi kotak Ultra, sejurus selepas kerjasama tersebut dilancarkan dan menerusi Kotak Ulti dalam tempoh masa beberapa bulan akan datang.
Ini merupakan antara ciri-ciri kefungsian terbaharu yang diperkenalkan bagi mengintegrasikan perkhidmatan penstriman global di platform Astro.
Menerusi kerjasama ini, pelanggan Astro dan Netflix di Malaysia kini boleh menguruskan akses pembayaran yuran langganan Astro dan Netflix mereka dengan lebih mudah dalam satu bil yang sama, dengan nilai tambah yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kerjasama itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan nombor satu rakyat Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan penstriman terbaik.
Ujarnya, pelbagai kandungan hebat seperti naskhah originals, program signatures, tayangan acara sukan secara langsung dan filem blockbuster tempatan juga tersedia untuk dinikmati.
“Pengumuman ini diharap dapat meningkatkan lagi prestasi Astro di dalam kepimpinan pasaran serantau dalam memberikan pengalaman hiburan terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan APAC Netflix, Tony Zameczkowski memaklumkan, rangkuman program menarik daripada koleksi filem Hollywood seperti Army of the Dead, La Casa de Papel dari Sepanyol, Lupin dari Perancis, dan K-drama seperti Vincenzo diminati oleh penonton di seluruh dunia.
“Saya amat berbesar hati dengan pakatan strategik yang terjalin dengan Astro kerana kerjasama tersebut membolehkan kami membawa kandungan hiburan bertaraf dunia di pelbagai peranti pintar pilihan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.” jelasnya. – UTUSAN










