125 NGO desak moratorium penuh - Utusan Malaysia

125 NGO desak moratorium penuh

Gabungan NGO terbabit yakin moratorium menyeluruh boleh dilaksanakan mengambil kira keuntungan besar yang direkodkan oleh bank-bank. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 125 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan menggesa pihak  kerajaan melaksanakan pemberian moratorium secara menyeluruh (blanket) sekurang-kurangnya selama enam bulan atau  sehingga negara mencapai imuniti kelompok.

Gabungan NGO itu termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Gabungan itu mendakwa merangkumi lebih satu juta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara yang memberi peluang pekerjaan kepada hampir tujuh juta orang, termasuk 3.9 juta perniagaan mikro dan perseorangan.

Mereka membuat desakan itu susulan kesukaran untuk meneruskan perniagaan yang dihadapi oleh usahawan serta tekanan ekonomi yang semakin membebankan rakyat.

Selain itu, satu memorandum yang telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Jun lalu  sehingga kini belum ada maklum balas.

Menurut gabungan itu, pemberian moratorium penuh boleh dilaksanakan atas dua alasan kukuh pertama, kerajaan telah
bail out institusi kewangan sebanyak RM70 bilion dan kedua, bank mampu melaksanakannya apabila lapan bank utama di  negara ini telah merekodkan keuntungan sebanyak RM93 bilion dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, gabungan 125 NGO terbabit menyifatkan bantuan bersasar yang telah diberikan bank-bank ketika ini ‘tidak berkesan’ untuk membantu menyelesaikan beban kewangan yang dihadapi peniaga dan individu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan semula awal bulan ini.

Sehubungan itu katanya, moratorium yang tidak bersasar wajar diberikan kepada semua rakyat ketika waktu yang sukar ini.

“Itu adalah yang paling minima kerajaan boleh lakukan kerana ia tidak memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Pihak tertentu seperti pihak bank tidak patut dibenarkan mengambil kesempatan dan menambahkan kesengsaraan rakyat dengan memaksa kita semua membayar pinjaman bank sedangkan mencari sumber pendapatan semakin susah,” katanya dalam sidang media bersama yang diadakan secara maya, semalam.

Sementara itu, Penyelaras Kumpulan Industries Unite, Datuk David Gurupatham memberitahu, dalam memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri, gabungan itu menyatakan walaupun mereka menerima pemberian moratorium bersasar, namun mendapati ada pihak yang tidak menerima manfaat itu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula berkata, institusi perbankan dilihat banyak meraih keuntungan daripada mengalami kerugian walaupun dunia sedang dilanda pandemik.

“Tidak adil apabila pihak bank beri tekanan kepada peminjam dan terus mengambil ke sempatan ke atas kami dengan menambah lagi faedah daripada moratorium yang dilanjutkan.

“Pihak bank harus ingat mereka bukan berkecuali, jadi buatlah agenda untuk bank membantu industri tanpa mengenakan  bayaran tambahan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden FMBA, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, jika permintaan gabungan tidak berjaya, cara terakhir ialah mempengaruhi pengguna untuk memboikot pihak bank.

“Tanpa pengguna, pihak bank tidak mampu untuk bertahan. Namun saya berharap ia tidak perlu sampai ke tahap itu.  Semoga kerajaan mendengar rintihan rakyat kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya