JELI: Taktik 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak menyorok di dalam kawasan ladang kelapa sawit di jalan Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas di sini gagal selepas diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Kesemua mereka yang terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan dua kanak-kanak berusia antara tiga hingga 35 tahun ditahan pada pukul 7.10 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan berkait dengan penyeludupan PATI yang diterima pihaknya sebelum melakukan serbuan di ladang sawit berkenaan.
Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua warga Myanmar itu memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar kawasan Wakaf Zin, Ayer Lanas dengan menaiki bot pada awal pagi.
“Mereka mengaku menggunakan khidmat seorang ejen warga Myanmar yang dikenali sebagai ‘Turwia’ dengan bayaran RM3,500 bagi setiap individu untuk membawa mereka masuk ke negara ini.
“Kesemua mereka juga mengaku mahu ke sekitar Lembah Klang untuk bekerja sebagai pekerja am dan kilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.
Katanya, disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN










