PETALING JAYA: Pakar ekonomi mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan kembali moratorium pinjaman kepada individu dan peniaga, selain meneruskan subsidi upah untuk membantu golongan yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pakej rangsangan perlu diperkenalkan kerana pelaksanaan dua PKP yang diumumkan sebelum ini sentiasa diikuti dengan pengumuman pakej rangsangan untuk membantu golongan terjejas.
Beliau berkata, selain moratorium pinjaman dan subsidi upah, moratorium sewa premis dan cukai taksiran patut diperkenalkan.
“Usaha memastikan semua penganggur mendapat pekerjaan harus diperhebatkan. Mungkin boleh ambil seberapa ramai penganggur yang boleh untuk membantu segala aktiviti logistik pemantauan kluster jangkitan dan juga untuk program imunisasi kebangsaan supaya proses dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat.
“Bantuan kepada individu juga boleh dilakukan melalui konsep netting atau muqassah di mana individu atau isi rumah menerima baucar atau kredit yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan dan perkhidmatan. Konsep ini akan mengurangkan tahap keberhutangan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmed Razman menjangkakan pelaksanaan PKP 3.0 akan benar-benar memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2021 dijangka kekal rendah sekitar negatif 0.5 hingga 0.5 peratus.
“Malahan kerajaan juga menjangka kerugian setiap hari disebabkan PKP 3.0 ini adalah sekitar RM300 juta. Oleh itu, untuk memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan, kerajaan harus berterusan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej ransangan PERMAI dan PEMERKASA supaya golongan yang terjejas akan sentiasa dibantu,” katanya.
Ahmed Razman berkata, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama negatif 0.5 peratus menunjukkan negara masih belum dapat mencatatkan pertumbuhan positif disebabkan jangkitan Covid-19 kembali meningkat, menyukarkan kerajaan membuka semua sektor ekonomi seperti biasa.
“Ya, kerajaan kena perhebatkan lagi kempen untuk rakyat mendaftar dapatkan vaksin kerana bermula Jun nanti kita akan mula mempunyai vaksin yang cukup untuk semua yang telah mendaftar,” katanya.
Mengenai KDNK pada tahun ini, beliau berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menilai semula unjuran KDNK antara enam hingga 7.5 peratus, mengambil kira kadar jangkitan yang semakin tinggi serta pelaksanaan PKP 3.0 yang akan memberi impak kepada ekonomi. – UTUSAN










