Kepentingan pemasaran hijau dalam era digitalisasi - Utusan Malaysia

Kepentingan pemasaran hijau dalam era digitalisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perniagaan pada hari ini senantiasa berdepan dengan perubahan trend pengguna dan persaingan industri dalam memperkukuh prospek pasaran digital. Selain melaksanakan idea pemasaran secara strategik dan membina kandungan yang kreatif dalam memperkenal keistimewaan produk atau perkhidmatan bagi menarik minat pelanggan, cabaran paling utama kepada setiap usahawan dan peniaga juga adalah memahami emosi pasaran sebagai elemen yang mempengaruhi penilaian pelanggan dan prospek terhadap proses pemilihan dan keputusan pembelian terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Atas faktor tersebut, perkembangan komunikasi melalui jaringan digital dan media sosial turut menjadi pemangkin yang mempengaruhi sentimen pasaran sehingga meningkatnya kesedaran dalam kalangan para pengguna terutamanya terhadap isu-isu yang terkait dengan kepentingan masyarakat dan kelestarian global. Pengaruh pasaran ini turut membuka mata ramai pemain industri dalam mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengadaptasi nilai-nilai masyarakat ini melalui kandungan serta penyebaran informasi yang bertepatan dengan aspirasi perniagaan.

Antara elemen yang mempengaruhi sentimen pasaran pada masa kini adalah dengan meningkatnya kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap kepentingan menitikberatkan faktor kesejahteraan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar dalam amalan kehidupan seharian. Secara realiti, ia semakin mendapat perhatian sehingga turut mempengaruhi tingkahlaku dan trend cara hidup sebahagian besar pelanggan dan pengguna digital. Pengaruh ini juga turut menyuntik kesedaran dalam kalangan ramai pemain industri untuk memberi fokus sewajarnya dalam melaksanakan elemen Pemasaran Hijau atau Green Marketing dalam perniagaan.

Pemasaran Hijau adalah aktiviti pemasaran terhadap produk atau perkhidmatan yang diyakini selamat kepada penggunaan manusia, mesra terhadap persekitaran dan kelestarian alam sekitar. Ia menggabungkan berbagai maksud dalam aktiviti perniagaan yang merangkumi proses pembuatan produk, pengurusan perkhidmatan, kandungan bahan-bahan yang digunakan sehingga aspek pembungkusan serta pengisian aktiviti pemasaran dan periklanan yang diketengahkan kepada pelanggan dan prospek pasaran.

Konsep Pemasaran Hijau telah pun diperkenalkan sekitar 1971 sebagai inisiatif baharu dalam memenuhi kehendak pasaran di samping menjaga kepentingan masyarakat. Ia seterusnya telah diperkukuhkan lagi melalui konsep Societal Marketing yang menekankan konsep keseimbangan terhadap etika perniagaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat secara lebih menyeluruh. Sejak itu, kepentingan Pemasaran Hijau telah diperluas dalam menyokong impak pemasaran dan promosi sehingga kemunculan dunia digital.

Antara contoh elemen Pemasaran Hijau yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna adalah pemerhatian terhadap kandungan bahan-bahan pembuatan produk yang berasaskan halal, bebas bahan kimia berbahaya, tidak diuji pada haiwan, penggunaan bahan kitar semula dan mesra alam sekitar. Elemen-elemen ini juga menjadi faktor yang menyumbang kepada kekuatan yang perlu diketengahkan dalam pemasaran kandungan sebagai fakta perkongsian di ruangan digital dan media sosial perniagaan.

Sehingga kini, kesan daripada krisis pemanasan global, peningkatan penyakit daripada penggunaan bahan yang terlarang sehinggalah krisis pandemik turut menyumbang kepada peralihan pasaran dan kesedaran terhadap amalan Pemasaran Hijau. Masyarakat semakin sedar tentang kesejahteraan dan impak alam sekitar yang turut mempengaruhi emosi mereka melalui pemerhatian dan engagement di media sosial sehinggalah membuat keputusan dalam pembelian serta penglibatan jangka panjang.

Justeru itu, kenali potensi perniagaan, produk atau perkhidmatan yang merangkumi amalan Pemasaran Hijau. Membina pemasaran kandungan bagi tujuan mendidik serta memupuk kesedaran dalam menyokong tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar turut menjadi faktor kekuatan yang membantu menjana pelanggan disamping memperkukuh kredibiliti penjenamaan dan perniagaan. Melaksanakan elemen Pemasaran Hijau merupakan satu daripada kepentingan baharu dalam pengembangan pasaran era digital kini.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN