Untung bersih CIMB Thai jatuh 68.4 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih CIMB Thai jatuh 68.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih CIMB Thai Group menurun 738.5 juta baht (RM97.11 juta) atau 68.4 peratus tahun ke tahun kepada 341.3 juta baht (RM44.88 juta) untuk tiga bulan pertama berakhir 31 Mac lalu.

Menurut anak syarikat CIMB Group Holdings Berhad itu, pengurangan keuntungan yang dialami untuk suku pertama tahun kewangan 2021 itu sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan 64.3 peratus jangkaan kerugian kredit.

Katanya, ia disebabkan peruntukan yang tinggi akibat ketidaktentuan ekonomi dan potensi pemindahan kredit daripada pelanggan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Thai, Paul Wong Chee Kin berkata, pada asas tahun ke tahun, fi bersih dan pendapatan perkhidmatan meningkat sebanyak 12.1 juta baht (RM1.59 juta) atau 3.1 peratus, disokong pembrokeran insurans yang lebih tinggi dan pendapatan penajajaminan.

“Pendapatan operasi lain berkurang sebanyak 377.1 juta baht (RM49.59 juta) atau 37.2 peratus disebabkan penurunan pendapatan daripada instrumen kewangan diukur pada nilai saksama menerusi kerugian atau keuntungan sebanyak 367.8 juta baht (RM48.37 juta).

“Pendapatan faedah bersih berkurang sebanyak 366.4 juta baht (RM48.18 juta) atau 12.9 peratus disebabkan pendapatan faedah lebih rendah dalam pinjaman daripada pengembangan kredit yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan maklumannya kepada Bursa Saham Thailand (SET) semalam.

Tambah Paul, pendapatan operasi disatukan berkurang sebanyak 731.4 juta baht (RM96.18 juta)  atau 17.2 peratus tahun ke tahun kepada 3.51 bilion baht (RM461.63 juta).

Keuntungan Operasi Praprovisi pula berkurang sebanyak 351.2 juta baht (RM46.18 juta) atau 19.7 peratus tahun ke tahun kepada 1.43 bilion baht (RM187.99 juta) yang sebahagian besarnya disebabkan pendapatan operasi yang rendah.

Ia bagaimanapun diimbangi pengurangan 15.5 peratus tahun ke tahun dalam perbelanjaan operasi.

“Perbelanjaan operasi berkurang 380.2 juta baht (RM50 juta), sebahagian besarnya disumbangkan pengurusan kos yang lebih baik dan kos kakitangan yang lebih rendah.

“Nisbah kos kepada pendapatan meningkat kepada 59.3 peratus pada tiga bulan pertama 2021 berbanding 58 peratus pada tiga bulan pertama 2020 disebabkan pendapatan operasi yang berkurang,” kata Paul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.