TM perkukuh penawaran keselamatan siber  - Utusan Malaysia

TM perkukuh penawaran keselamatan siber 

TM terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkukuh penyelesaian infrastruktur digitalnya menerusi Perjanjian Perkhidmatan Utama (MSA) dengan Telefόnica Tech yang sekali gus membolehkan TM ONE menawarkan penyelesaian keselamatan siber global untuk sektor perusahaan dan awam di Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, kerjasama dengan Telefόnica Global Solutions itu membolehkan TM ONE membangun dan melaksanakan strategi keselamatan siber global untuk pasaran negara. 

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan Telefónica Tech, sebuah syarikat telekomunikasi antarabangsa yang terkemuka untuk membawakan penyelesaian bertaraf antarabangsa kepada pelanggan kami.

“Sebagai sebahagian daripada Kumpulan TM, kami sentiasa memperkukuh infrastruktur digital kami untuk memudahkan lagi penerimaan teknologi-teknologi digital, dengan memanfaatkan perkhidmatan Awan dan keselamatan siber. 

“Ini membolehkan kami menawarkan produk dan penyelesaian menyeluruh yang akan mempertingkatkan gaya hidup digital serta menyediakan penyelesaian perniagaan yang lengkap. 

“Dengan Pusat Pertahanan Keselamatan Siber (CYDEC), TM ONE bersedia untuk memperkasa dan mempercepat agenda Rangka Kerja (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan memberikan ketahanan siber melalui sambungan, awan, pusat data dan keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan.

MSA tersebut telah ditandatangani oleh Ahmad Taufek dan Ketua Pegawai Eksekutif Telefόnica Global Solutions, Julio Beamonte.

Menerusi kerjasama tersebut, Telefόnica Tech akan memberikan khidmat rundingan untuk menyokong dan membina program keselamatan siber yang holistik bagi pembangunan Pusat Operasi Keselamatan Siber Global TM ONE (G-CSOC) termasuk latihan dalam perkhidmatan keselamatan siber bagi meningkatkan kecerdasan dan kemahiran digital tenaga kerja tempatannya.

Tambah Ahmad Taufek, transformasi digital perniagaan yang pantas hadir bersama risiko dan kerentanan keselamatan siber, jadi setiap organisasi perlu melindungi dan menjamin keselamatan perniagaan, data pelanggan dan reputasi jenama mereka daripada penjenayah siber.

“Oleh itu, penting bagi sesebuah organisasi untuk memahami kemampuan dan keupayaan mereka bagi mengesan dan bertindak balas terhadap sesuatu serangan siber. 

“Mereka perlu mempunyai alat, proses dan paling penting, pasukan yang tepat iaitu merujuk kepada pasukan pakar perisik siber atau penganalisis keselamatan yang sentiasa bersedia pada setiap masa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya