PIC beroperasi penuh 2H2021, kapasiti pengeluaran penuh 2022 - Utusan Malaysia

PIC beroperasi penuh 2H2021, kapasiti pengeluaran penuh 2022

Petronas memulakan eksport LNG ke China dalam tangki ISO dari kemudahan pengisinya di Pengerang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemical Group (PCG) menjangkakan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) akan beroperasi penuh pada separuh kedua tahun ini.

Walau bagaimanapun, kompleks tersebut hanya dijangka beroperasi dengan kapasiti pengeluaran penuh menjelang tahun hadapan dan ia dijangka menyumbangkan 10 sehingga 15 peratus daripada pendapatan syarikat itu pada tahun kewangan itu.

Pengerusinya, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, kapasiti pengeluaran keseluruhan PCG dijangka meningkat daripada 12.8 juta tan kepada 14.6 juta tan setahun apabila PIC mula beroperasi dengan kapasiti pengeluaran penuh.

“Kebiasaannya apabila kita memulakan operasi sesebuah kompleks, kita tidak akan mengoperasikannya dalam kapasiti yang penuh. Maka untuk tahun ini, dijangka kira-kira 0.7 juta tan (kapasiti pengeluaran), nilainya tidak siginifikan untuk tahun ini.

“Pada 2022, kami akan cuba beroperasi dalam kapasiti penuh dan ia dijangka meningkatkan 1.8 juta tan setahun produk kimia kepada portfolio PCG,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PCG hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah dan Ketua Pegawai Kewangan, Mohd. Azli Ishak.

PCG mencatatkan prestasi yang baik pada 2020 apabila berjaya mengekalkan kadar penggunaan loji pada 94 peratus, lebih tinggi berbanding piawaian bertaraf dunia pada 90 peratus.

Syarikat itu juga berjaya memecahkan rekod jumlah pengeluaran pada 10.7 juta tan setahun dan mencapai tahap kebolehpercayaan pemenuhan pesanan bertaraf dunia pada kadar 97 peratus.

Sazali berkata, pecapaian tersebut ialah hasil keupayaan syarikat tersebut memanfaatkan kekuatan yang ada selain asas kukuh yang dibina membolehkan syarikat itu berupaya menghadapi cabaran.

“Dengan teknologi terkemuka, kemudahan bersepadu, kelebihan logistik, portfolio yang pelbagai, jejak serantau dan hubungan rapat dengan pelanggan, kami kekal berdaya tahan.

“Hasilnya, PCG mengakhiri tahun 2020 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.6 bilion.

“Sejajar dengan dasar dividen syarikat, untuk tahun kewangan 2020, kami telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 12 sen atau RM960 juta, menjadikan nisbah pembayaran dividen sebanyak 59 peratus daripada jumlah keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya