Nestle Malaysia labur RM150 juta bina kilang PBMS - Utusan Malaysia

Nestle Malaysia labur RM150 juta bina kilang PBMS

Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah melihat proses pembuatan produk makanan di kilang PBMS Nestle Malaysia di Seksyen 15, Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Buat julung kalinya, Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle Malaysia) tampil dengan kelainan apabila membina kilang menghasilkan produk berasaskan tumbuhan yang pertama di Asia Tenggara.

Nestle Malaysia membina kilang Penyelesaian Makanan Berasaskan Tumbuhan (PBMS) dengan melibatkan kos bernilai RM150 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, pihaknya melabur dalam segmen produk tersebut di bawah jenama Harvest Gourmet sebagai pilihan alternatif kepada rakyat Malaysia yang mencari produk makanan bukan daging.

“Bagi memenuhi citarasa rakyat Malaysia, sebanyak tiga produk makanan yang berasaskan soya, gandum, lobak merah dan lain-lain lagi akan dilancarkan di bawah Harvest Gourmet tidak lama lagi.

“Kesemua produk ini akan berada di pasar raya dan kedai dalam masa beberapa bulan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian kilang pembuatan makanan berasakan tumbuhan Nestle di Kompleks Perindustrian Nestle Malaysia di Seksyen 15 di sini, semalam.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli merasmikan kilang tersebut. Turut mengi­ringi baginda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Tambah Aranols, kilang berkeluasan kira-kira 0.6 hektar itu telah beroperasi sejak awal tahun ini.

Jelasnya, fasiliti kilang tersebut dilengkapi mesin pemprosesan terkini yang mampu menghasilkan produk makanan berasaskan tumbuhan sebanyak 8,000 tan setahun bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Pemilihan Malaysia sebagai lokasi hab pembuatan produk baharu ini kerana negara ini menawarkan infrastruktur dan hubungan perdagangan serta tenaga mahir yang diperlukan.

“Dengan adanya PBMS, kita mampu membekalkan makanan berasaskan tumbuhan keluaran tempatan yang berkualiti tinggi, lazat dan halal.

“Kita mensasarkan pendapatannya akan meningkat dalam tempoh lima tahun dengan pengenalan jenama Harvest Gourmet,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya