Tembakan meriam, lencongan jalan sempena Istiadat Mengarak Panji- Panji Agong - Utusan Malaysia

Tembakan meriam, lencongan jalan sempena Istiadat Mengarak Panji- Panji Agong

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai khususnya penduduk sekitar Presint 1, Putrajaya dinasihatkan agar tidak panik apabila mendengar letupan meriam sempena Sambutan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2026 yang bakal berlangsung pada 5 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam pada sesi raptai penuh dan hari acara sebagai sebahagian daripada istiadat berkenaan.

Menurutnya, sesi raptai penuh akan diadakan pada 3 Jun depan bermula pukul 8.30 pagi di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 dengan melibatkan dua das tembakan meriam.

“Pada hari acara sebenar iaitu 5 Jun, tembakan sebanyak 21 das meriam akan dilepaskan bermula pukul 8.30 pagi di lokasi yang sama bagi meraikan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Selain itu, sebanyak sebanyak tiga laluan utama di sekitar Presint 1 akan terkesan susulan penutupan sementara jalan bermula pukul 7 pagi pada hari istiadat berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, laluan yang terlibat ialah Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur serta laluan sekitar Kompleks E.

“Kesesakan lalu lintas dijangka berlaku antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi berikutan pelaksanaan istiadat tersebut.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran perjalanan acara,” ujarnya.

Beliau turut menggesa orang ramai merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang tempoh penutupan jalan berkenaan.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di 03-8886222 atau menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN