PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Adi Putra memilih untuk kekal tenang dan enggan mengulas secara emosional susulan penarikan semula tayangan filem lakonannya, Konspirasi, dari pawagam tempatan.
Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 45, yang memegang watak utama sebagai Tuan Adli, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berpendapat pendekatan lebih rasional perlu diambil ketika pelbagai spekulasi sedang bertebaran mengenai isu tersebut.
“Dalam situasi apa pun, jangan biarkan emosimu mengalahkan kecerdasanmu,” tulisnya ringkas menerusi hantaran di Threads yang disertakan dengan latar skrin biru tertera perkataan Konspirasi.
Pada masa sama, pelakon itu turut memohon maaf kepada peminat yang tidak sempat menyaksikan filem berkenaan di layar perak.
“Maaf kepada semua yang tidak sempat menonton filem Konspirasi. Banyak spekulasi, andaian dan pelbagai huraian yang timbul ketika ini.
“Namun, kita ambil satu sudut pandang sahaja dan doakan yang baik-baik. Insya-Allah, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.
Menerusi hantaran berasingan, Adi turut memuat naik beberapa keping gambar daripada filem tersebut dengan kapsyen ringkas, “Tak mengapa, kita move on”.
Terdahulu, selepas hanya tujuh hari ditayangkan, penerbit Konspirasi, Elepfilm Entertainment, mengesahkan filem aksi thriller itu ditarik semula daripada tayangan di pawagam Malaysia bermula 28 Mei lalu.
Bagaimanapun, filem berkenaan masih diteruskan tayangannya di Singapura. -UTUSAN










