Akta Sewa Beli 2026 berkuat kuasa esok – Armizan - Utusan Malaysia

Akta Sewa Beli 2026 berkuat kuasa esok – Armizan

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli bersedia menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan peruntukan baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bermula 1 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penguatkuasaan akta itu dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli lebih adil, telus dan berdaya saing.

Katanya, pelaksanaan tersebut turut melibatkan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 yang akan berkuat kuasa pada tarikh sama.

“Penguatkuasaan ini adalah susulan daripada pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2025 sebagai sebahagian daripada ikhtiar memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, antara isu yang sering menjadi keluhan pengguna sebelum ini adalah berkaitan transaksi sewa beli kenderaan, khususnya beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun penyelesaian awal pinjaman dibuat.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.

Katanya, antara inti pati utama pindaan itu ialah pemansuhan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata atau flat rate dan kaedah Peraturan 78.

Jelasnya, melalui kaedah lama itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.

“Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.

Armizan berkata, pindaan itu juga membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli, termasuk tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.

Katanya, langkah itu dapat meningkatkan kecekapan proses perjanjian selain memperkenalkan keperluan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam bagi mengurangkan risiko penipuan.

Sementara itu, beliau berkata, fasa kedua pelaksanaan akta tersebut disasarkan bermula pada September 2026.

Katanya, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses persediaan termasuk integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.

“Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN