Jangan ceroboh rentis TNB - Utusan Malaysia

Jangan ceroboh rentis TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasio­nal Berhad (TNB) meminta pemaju projek untuk tidak me­lakukan kerja-kerja terlalu hampir dengan kawasan izinlalu rentis talian penghantaran tingginya untuk mengelakkan kejadian percikan arka yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional.

TNB dalam satu kenyataan memberitahu, kerja-kerja di dalam kawasan rentis TNB juga dilarang sama sekali kerana risiko percikan arka dan renjatan elektrik serta gangguan bekalan kepada sistem Grid Nasional adalah lebih tinggi.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, tiada kerja-kerja boleh dilakukan dalam kawasan izinlalu tanpa kebenaran TNB.

“Janganlah menceroboh kawasan rentis TNB. Maklumkan kepada kami jika perlu menjalankan kerja di dalam kawasan itu.

“Bagi pihak yang telah menerima kebenaran TNB untuk bekerja di dalam kawasan itu, perlu berhati-hati bagi menge­lakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik hingga menyebabkan ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menekankan, percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku itu sendiri.

IR. Husaini Husin

Menurut Husaini, pihaknya telah mengesan tiga percikan arka menara penghantaran TNB di Seberang Perai, Pulau Pinang; Klang dan Subang Jaya, Sela­ngor yang berlaku baru-baru ini.

Ujarnya, kejadian itu telah menyebabkan sistem terpelantik dan operator kren yang terlibat mengalami renjatan elektrik yang mengakibatkan kecede­raan serius dengan kelecuran tahap satu.

“Pihak pemaju projek yang sama telah gagal mematuhi nasihat TNB walaupun notis dan amaran telah dikeluarkan kepada pihak pemaju berkenaan.

“Jika pemaju terus-menerus tidak mengendahkan notis dan amaran dari TNB, gangguan bekalan mungkin akan berlaku lagi yang sekaligus boleh menjejaskan ramai pengguna di kawasan yang terlibat,” tambahnya.

TNB menjelaskan, apa-apa perbuatan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasa­ngan adalah satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya