Hab sarung tangan getah, PPE di Gebeng - Utusan Malaysia

Hab sarung tangan getah, PPE di Gebeng

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Mohd. Faizal Jaafar (dua, kiri) dan Gianluca Ernesti di Dewan Jubli Kuantan, Pahang, semalam.– UTUSAN/NIK NAIZI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) meluaskan skop pelaburannya dengan pembinaan hab sarung tangan getah dan produk Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) fasa satu di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Mohd. Faizal Jaafar berkata, pembangunan dilaksanakan oleh World Glove International Group City & Hub Development Sdn. Bhd. (WGC) dijadualkan bermula Jun ini dan dijangka siap hujung tahun.

“Pembangunan itu membabitkan pelaburan berjumlah RM100 juta di atas kawasan seluas 128 hektar di Gebeng,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah antara PKNP dan WGC di Dewan Jubli di sini, semalam.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Mohd. Faizal dan Ketua Pegawai Eksekutif WGC, Datuk Gianluca Ernesti serta disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizal berkata, pelaburan terbaharu di Kawasan Perindustrian Gebeng tersebut akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan setempat dan sekitarnya.

“PKNP berperanan sebagai agensi utama untuk memudah cara kepada pelabur membina kilang di kawasan perindustrian di negeri ini.

“Kita juga sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Unit Antarabangsa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan pelaburan di negeri ini terutama di Gebeng.

“Sehingga Disember 2020, 657 projek berjumlah RM62.73 bilion telah diluluskan di Pahang dan daripada jumlah itu, RM50.40 bilion membabitkan pelaburan luar, RM12.33 bilion lagi pelaburan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.