Bina Puri raih projek RM183 juta di Nepal - Utusan Malaysia

Bina Puri raih projek RM183 juta di Nepal

LAKARAN artis Kompleks Mahkamah Agung Nepal yang bakal dibina oleh Bina Puri Holdings Bhd. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bina Puri Holdings Bhd. berjaya me­raih projek pembinaan Kompleks Mahkamah Agung Nepal bernilai NRs 5.2 bilion (kira-kira RM183 juta).

Projek itu terletak di Ramshahpath, Kathmandu dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Nepal.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bina Puri berkata, pihaknya bersama Kalika Construction Pvt. Ltd. dan Samanantar Nirwan Sewa Pvt. Ltd. telah menandatangani perjanjian usahawan bagi membentuk syarikat kerjasama, Bina Puri-Kalika-Samanantar untuk melaksanakan projek tersebut.

Jelasnya, projek tersebut telah dianugerahkan oleh Mahkamah Agung Nepal dengan tempoh pelaksanaan selama 36 bulan.

Kerja-kerja projek membabitkan pembinaan sebuah kompleks mahkamah baharu setinggi tujuh tingkat mengandungi dua buah ruang bawah tanah, bangunan struktur berangka RCC dengan kemasan lengkap, kerja landskap, kerja-kerja mekanikal, paip dan elektrik termasuk alat memadam api.

Mengulas perkara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Matthew Tee berkata, Kumpulan Bina Puri terus aktif dalam aktiviti pembidanaan sama ada projek dalam negeri atau pun luar bagi meningkatkan pendapatan Kumpulan.

“Dengan anugerah kontrak terbaharu ini, jumlah projek pembinaan bagi kumpulan telah meningkat kepada RM1.9 bilion,” katanya.

Kata beliau, gabungan Bina Puri dengan Kalika adalah melalui keanggotaan kedua-dua negara dalam International Federation of Asian dan Western Pacific Contractor’s Associations (IFAWPCA) yang diwakili oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Persekutuan Persatuan Kontraktor Nepal (FCAN).

Kalika merupakan syarikat pembinaan kelas A di Nepal dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam semua jenis kerja pembinaan. Samanantar pula adalah syarikat pembinaan yang sedang berkembang dan paling berjaya dengan pelbagai projek khususnya untuk sektor kerajaan.

Bina Puri pula merupakan antara kontraktor Malaysia terawal melibatkan diri di luar negara sejak 1995. Sebelum ini, Bina Puri berjaya membina bangunan hotel lima bintang, Hyatt Regency Hotel di Kathmandu pada 2000 bernilai RM39 juta.

Sehingga kini Kumpulan Bina Puri telah berjaya melaksanakan pelbagai projek pembinaan di serata dunia termasuk tiga buah lebuh raya di India. Terkini, Kumpulan sedang membina Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, Rusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya