Perkasa ekonomi digital - Utusan Malaysia

Perkasa ekonomi digital

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BICARA NIAGA

Mukadimah

Pada 19 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang antara lain untuk memperkasa rakyat Malaysia dalam bidang ekonomi digital.
Ini kerana, penglibatan menyeluruh rakyat dalam agenda negara itu bakal meningkatkan kualiti kehidupan mereka dalam era digitalisasi dan gig ekonomi.
Ikuti temu bual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai MyDIGITAL, peranan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan rakyat dalam menjayakan agenda besar itu.

Apakah MyDIGITAL yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Februari 2021?
MUSTAPA: MyDIGITAL me­rupakan agenda kerajaan yang merangkumi pelbagai aspek untuk menggerakkan usaha-usaha pendigitalan di Malaysia. Misi utama agenda ini adalah untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Johor hingga ke Sabah, untuk terlibat dalam ekonomi digital dan sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Dalam merealisasikan agenda tersebut, MyDIGITAL antara lain telah memperkenalkan beberapa inisiatif iaitu Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memantapkan kesalinghubu­ngan sedia ada. Rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat daripada 7.5 juta premis pada hujung 2022 kepada sembilan juta premis menje­lang penghujung 2025.

Boleh Datuk Seri ulas lebih lanjut berkenaan rangka tindakan itu?
Rangka tindakan itu adalah dokumen komprehensif yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL. Rangka tindakan itu me­netapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia dan membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk dalam merapatkan jurang digital.
Rangka tindakan itu turut mendukung agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (SDG 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Ia melengkapi ketiga-tiga agenda tersebut serta mengemaskan gerak kerja kerajaan untuk terus ke hadapan dengan berteraskan tiga prinsip iaitu inklusiviti, untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan akibat pendigitalan; etika, untuk memastikan data dan peralatan digital digunakan secara beretika serta keyakinan, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital tanpa mengabaikan keselamatan siber.

Mengapakah MyDIGITAL amat diperlukan sekarang?
Kerajaan maklum betapa besarnya agenda pendigitalan ini kerana kami telah meneliti keseluruhan perjalanan pendigitalan negara dari 1996 dan kita juga telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Pandemik Covid-19 pula menyedarkan kita akan kepentingan usaha pendigitalan ini disegerakan bukan sahaja untuk kita bangkit semula dari segi ekonomi setelah berhadapan dengan pandemik, malah lebih dari itu, agar kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua krisis di masa hadapan.

Apakah antara intipati dan potensi MyDIGITAL?
Antara sasaran utama rangka tindakan ini adalah seperti berikut: kepada rakyat, 500,000 pekerjaan baharu diwujudkan; 100 peratus isi rumah mendapat capaian kepada internet dan semua pelajar mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian.
Sasaran-sasaran ini melihat kepada kehidupan rakyat yang boleh meningkatkan tahap mobiliti dan taraf hidup mereka.

Boleh Datuk Seri terangkan bagaimanakah rangka tindakan ini akan memanfaatkan rakyat keseluruhannya?
Antara perkara yang paling penting yang disasarkan oleh rangka tindakan ini adalah untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia antara bandar dan desa, ge­nerasi muda dan tua contohnya. Tambahan pula, pandemik Co­vid-19 menyedarkan kita bahawa penerima gunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital perlu di­segerakan.
Kita dijangka dapat melihat perubahan lanskap ekonomi digital ke arah peningkatan li­terasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang le­bih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil.

Apakah antara strategi My­DIGITAL dalam memastikan visi ekonomi digital dapat dicapai?
Secara amnya, rangka tindakan ini menggariskan tiga objektif iaitu menggalakkan pemain industri menjadi pencipta, pengguna dan yang menerima guna model perniagaan inovatif di bawah ekonomi digital; memanfaatkan modal insan yang boleh berjaya dalam ekonomi digital dan mewujudkan ekosistem yang bersepadu bagi membolehkan masyarakat menguasai ekonomi digital.
Bagi menjamin kejayaan as­pirasi ini, kerjasama antara kementerian juga memainkan peranan yang amat pen­ting. Kerajaan juga menetapkan enam teras, 22 strategi dan 76 inisiatif, di mana 48 adalah inisiatif nasional dan 28 adalah inisiatif sektor.

Apakah peranan EPU dalam pelaksanaan MyDIGITAL?
EPU akan menyelia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO). SCMO akan menjalankan tiga peranan iaitu melaksanakan pengurusan perubahan bagi Dasar 4IR Negara dan MyDIGITAL, memantau kemajuan dan menilai prestasi inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi memupuk pemikiran digital dan inovatif dalam kalangan rakyat, serta berperanan sebagai urus setia Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

Apakah jangka masa yang kerajaan peruntukan untuk pelaksanaan MyDIGITAL?
Pelaksanaan rangka tindakan ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa 1 untuk mempercepatkan penerima gunaan bagi memperkukuh asas digital (2021-2022). Fasa 2 untuk memacu transformasi dan keterangkuman digital (2023-2025). Fasa 3 pula untuk menjadi pengeluar produk digital dan penyedia penyelesaian digital bagi pasaran serantau (2026-2030).

Apakah impak yang bakal diperolehi daripada MyDIGITAL ini?
Di peringkat nasional, eko­nomi digital dijangka akan menyum­bang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. Pada masa yang sama, pelan ini juga menyasarkan untuk menghasilkan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital. Ini dapat memberikan peluang kepada mereka yang berani merebut cabaran pendigitalan dengan menerima dan menyesuaikan diri dengannya, mendapat manfaat dari segi peningkatan taraf hidup. Sementara itu kerajaan juga akan memudah cara dalam memastikan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna e-dagang.
Selain itu, inisiatif-inisiatif di bawah MyDIGITAL ini juga dapat memangkin 5,000 syarikat pe­ringkat permulaan dalam masa lima tahun akan datang dengan sasaran menarik unikorn untuk beroperasi di sini, kerana kesan limpahannya sangat luar biasa. Kita dapat membuka peluang pekerjaan baharu dan pekerjaan mahir berpendapatan tinggi. Apabila unikorn ini berfungsi dengan baik, mereka juga menyumbang kepada aliran tunai dalam negara.
Inisiatif ini juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negara.

Apakah harapan Datuk Seri kepada rakyat dalam usaha mereka menerokai dan memahami rangka tindakan ini?
Hakikatnya, kita tiada pilihan selain menerima dan mengguna pakai teknologi digital. Baik kerajaan, perniagaan mahupun setiap dari rakyat tanpa mengira apa jua demografi dan latar belakang perlu memanfaatkan teknologi digital dalam segenap aspek kehidupan. Aspirasi MyDIGITAL yang digagaskan hanya akan menjadi realiti sekiranya setiap rakyat Malaysia, pihak swasta dan juga kerajaan komited dalam menyahut seruan ini dan melaksanakan peranan masing-masing.
Jika tidak, kita akan ketinggalan. Dan negara juga tidak akan mampu mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosio­ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×