Pemansuhan larangan rentas negeri bantu pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Pemansuhan larangan rentas negeri bantu pertumbuhan ekonomi

Kerajaan perlu memikirkan lebih banyak penambahbaikan supaya golongan yang terjejas tidak terus terbeban dalam tempoh tersebut. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan pertumbuhan ekonomi negara antara 5.6 dan 6.7 peratus tahun ini boleh dicapai sekiranya kerajaan mempertimbangkan pemansuhan larangan merentas daerah dan negeri.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Abdul Samad, berkata, unjuran oleh Bank Dunia itu turut dipacu ketersediaan vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia baru-baru ini.

Ujarnya, sekiranya larangan rentas daerah dan negeri masih dikuatkuasakan, jangkaan pemulihan ekonomi tersebut mungkin perlahan kerana sektor-sektor utama negara masih terjejas.

“Larangan ini memang amat berkesan bagi memutuskan rantaian (jangkitan) Covid-19 namun tidak dinafikan akan memperlahankan proses pemulihan ekonomi negara kita.

“Dengan ketersediaan vaksin dan trend penurunan kes baharu jangkitan di seluruh negara, kerajaan harus memberi pertimbangan semula kebenaran rentas daerah dan negeri dengan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan SOP.

“Dengan itu, sektor perniagaan yang terjejas teruk pastinya akan pulih iaitu perhotelan, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, penerbangan dan agensi pelancongan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bank Dunia sebelum ini mengunjurkan ekonomi Malaysia tahun ini tumbuh antara 5.6 dan 6.7 peratus manakala ekonomi global dijangka berkembang pada empat peratus susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia.

Bank Dunia juga menjangkakan pemberian vaksin sebahagian besarnya dapat diselesaikan tahun ini di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun jangkaan Bank Dunia adalah lebih rendah daripada anggaran kerajaan iaitu sekitar 6.5 hingga 7.5 peratus, ia masih merupakan jangkaan positif.

Jelasnya, jangkaan tersebut lebih rendah mungkin selepas mengambil kira faktor jangkitan Covid-19 yang masih tinggi di negara ini manakala jangkaan kerajaan dibuat tahun lalu semasa jangkitan harian masih di tahap rendah.

“Pertumbuhan ini bergantung kepada beberapa faktor yang masih boleh dikawal oleh kerajaan iaitu dari segi pengedaran vaksin kepada rakyat mengikut jadual yang ditetapkan, kejayaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 secepat mungkin dan keupayaan perniagaan untuk pulih seperti sedia kala melalui penyaluran bantuan dan inisiatif dengan cekap tanpa berlaku masalah ketirisan atau birokrasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya