Hari Wanita: Yayasan Sime Darby peruntuk RM2 juta  - Utusan Malaysia

Hari Wanita: Yayasan Sime Darby peruntuk RM2 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Sime Darby (YSD) meningkatkan kerjasama strategik jangka panjangnya dengan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan bantuan dan komitmen RM2 juta hingga tahun hadapan.

 Pembiayaan sebagai memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2021 itu akan membantu WAO mendorong agenda kesetaraan jantina dan penggubalan undang-undang untuk membendung gangguan seksual serta diskriminasi wanita di tempat kerja.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, YSD telah bekerjasama dengan WAO selama lebih satu dekad dalam usaha memberikan perlindungan dan advokasi untuk wanita dan anak-anak mereka yang terselamat daripada keganasan rumah tangga. 

“Kerjasama ini telah membolehkan WAO membuat pembaharuan dalam pelbagai dasar nasional dan menyusun panduan mengenai penubuhan dan operasi domestik tempat perlindungan keganasan. 

“Kami sangat berbangga dapat bekerja bersama WAO selama ini, memberi sokongan seboleh mungkin atas usaha mereka yang luar biasa dalam menyediakan perlindungan dan keadilan terhadap keganasan serta diskriminasi bagi wanita Malaysia,” katanya ketika meraikan Hari Wanita Antarabangsa YSD (YSD IWD) 2021 secara maya, hari ini.

Tambah beliau, perkongsian yang memberi impak ini sesuai dengan Komuniti YSD dan strategi sokongan kesihatan, kerana ia menyokong inisiatif ke arah perubahan dasar nasional yang melindungi hak dan kesejahteraan golongan kurang berkemampuan.

Sehingga kini, WAO telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perubahan pelbagai dasar nasional termasuk membuat pindaan Kanun Keseksaan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dan mewujudkan tempat perlindungan keganasan rumah tangga di Kelantan, Sarawak, Selangor, Kedah dan Perak.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan memaklumkan, kerjasama WAO dan YSD sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan kerajaan dalam penggubalan Akta Kesaksamaan Gender, undang-undang anti-menghendap dan gangguan seksual. 

“Dengan sokongan YSD dalam tempoh sedekad ini, kami berjaya mencapai kejayaan baharu dalam kesaksamaan gender dan ke arah mengakhiri keganasan berdasarkan gender melalui sokongan, pembaharuan undang-undang selain peningkatan kemampuan barisan hadapan dan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya