AmBank cukup modal - Utusan Malaysia

AmBank cukup modal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayar penyelesaian kes 1MDB tak perlu tambahan modal

PETALING JAYA: AMMB Holdings Berhad (AmBank) tiada keperluan segera untuk tambahan modal ekuiti kerana bank itu mempunyai modal yang mencukupi untuk menyerap penyelesaian RM2.83 bilion atas penglibatannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Ekselutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir bagaimanapun tidak menafikan penyelesaian tersebut akan mempunyai impak material terhadap pendapatan suku keempat tahun kewangan 2021 kumpulan itu dan seterusnya keputusan keseluruhan tahun kewangan 2021.

Kata beliau, penyelesaian tersebut turut menyebabkan kumpulan itu tidak akan mencadangkan apa-apa dividen akhir untuk tahun kewangan 2021.

“Kami telah mencapai persetujuan dengan Kementerian Kewangan untuk pembayaran sejumlah RM2.83 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai penyelesaian penuh dan terakhir semua tuntutan dan tindakan berhubung penglibatan kumpulan dengan 1MDB dan semua entiti berkaitannya sebelum ini.

“Kumpulan mahu meyakinkan pelabur dan pemegang taruh yang kami kekal berdaya tahan secara kewangan dan bersedia untuk memanfaatkan peluang pada masa akan datang melalui strategi Lapan Fokus kami yang diperbaharui,” katanya dalam kenyataan semalam.

AmBank turut mengumumkan keputusan untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 semalam.

Melalui maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat perbankan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah pada sembilan bulan pertama tahun kewangannya pada RM866.32 juta berbanding RM1.09 bilion yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, jumlah pendapatan syarikat itu meningkat 5.7 peratus kepada RM3.42 bilion hasil pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi selain pendapatan dagangan dan pelaburan.
Pendapatan dasar syarikat itu pula meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun, tidak termasuk kerugian modifikasi bersih sebanyak RM15.1 juta.

Menurut Sulaiman, keuntungan bersih kumpulan itu terkesan dengan peruntukan makro tambahan sepanjang tahun disebabkan bantuan berterusan yang diberikan kepada peminjam.

“Disebabkan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kami mengambil langkah proaktif dengan mengasingkan peruntukan makro sebanyak RM59.7 juta suku ini, dengan peruntukan makro terkumpul sebanyak RM441.8 juta sejak pandemik bermula,” katanya.

Dalam pada itu, Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand (ANZ) dilaporkan akan menurunkan nilai pelaburannya di AmBank setelah bank tersebut menyelesaikan tuntutan berkaitan dengan skandal 1MDB.

Pemberi pinjaman keempat terbesar di Australia itu dalam satu kenyataan kepada bursa memaklumkan akan melepaskan sebanyak A$212 juta (RM667.81 juta) dalam 24 peratus nilai catatan sahamnya di AmBank, yang akan menurunkan hasil perolehan setengah tahun untuk fiskal 2021.

Pengurangan itu adalah disebabkan penyelesaian AmBank dengan kerajaan Malaysia atas penglibatannya dalam isu kecurian dana 1MDB bernilai AS$4.5 bilion (RM18.24 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya