NGO fail saman henti projek RM51 juta ubah suai kolam mercu tanda Lincoln

NGO fail saman henti projek RM51 juta ubah suai kolam mercu tanda Lincoln

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Satu projek membaik pulih dan mengecat semula Kolam Pantulan Memorial Lincoln kini menjadi subjek tuntutan mahkamah selepas kosnya melonjak kepada AS$13.1 juta (RM51.4 juta), jauh melebihi anggaran awal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebanyak AS$2 juta (RM7.8 juta).

Projek yang dimulakan minggu lalu itu merupakan sebahagian daripada usaha Trump untuk mengindahkan ibu negara AS menjelang sambutan ulang tahun ke-250 negara itu pada musim panas ini.

Bagaimanapun, rekod persekutuan menunjukkan kos projek tersebut kini mencecah lebih tujuh kali ganda daripada anggaran asal Trump.

Sebuah kumpulan bukan keuntungan, The Cultural Landscape Foundation memfailkan saman pada Isnin bagi memohon hakim menghentikan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut serta-merta.

Kumpulan itu mendakwa Trump mengabaikan undang-undang yang mengehadkan sebarang perubahan terhadap mercu tanda bersejarah, selain bimbang karakter sejarah kolam tersebut akan terjejas secara kekal.

Isu ini turut mencetuskan kritikan berikutan kontrak tanpa tender itu diberikan kepada sebuah syarikat berpangkalan di Virginia yang didakwa membelakangi keperluan persekutuan untuk tawaran bersaing.

Pentadbiran Trump dilaporkan menggunakan pengecualian yang dikhaskan untuk situasi kecemasan bagi memberikan kontrak tersebut kepada vendor pilihan mereka.

Apabila ditanya mengenai projek itu pada Selasa, Trump memberitahu pemberita, buat pertama kalinya sejak 1922, kolam tersebut akan berfungsi dengan sempurna.

Kolam sepanjang 620 meter yang terletak di antara Memorial Lincoln dan Monumen Washington itu sememangnya sering mengalami masalah kebocoran, kerosakan struktur, paip tersumbat serta pertumbuhan lumut.

Sebelum ini, kolam berkenaan pernah melalui pengubahsuaian bernilai AS$34 juta (RM133.5 juta) antara tahun 2010 dan 2012 semasa pentadbiran Barack Obama, namun masalah kebocoran dan lumut dilaporkan masih berterusan.

Berdasarkan kontrak baharu ini, kerja-kerja pemulihan dijangka siap sepenuhnya menjelang 22 Mei, tepat pada sambutan besar-besaran 4 Julai.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN