'Mayat mangsa berisiko terurai, dihanyutkan lebih jauh'

‘Mayat mangsa berisiko terurai, dihanyutkan lebih jauh’

MOHAMAD Shukri Khotob (kanan) menunjukkan lokasi pencarian mangsa bot karam dalam sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh di Lumut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa bot karam di perairan Pulau Pangkor yang memasuki hari ketiga berdepan cabaran apabila mayat mangsa boleh terurai selain boleh dihanyutkan ke lokasi lebih jauh.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, perubahan keadaan fizikal mangsa dijangka menyukarkan usaha mengesan keberadaan mereka di kawasan pencarian.

“Kebiasaannya, mayat akan mula terapung pada hari kedua dan apabila memasuki hari ketiga, jika keadaan mayat masih kembung, mayat masih boleh terapung di permukaan air.

“Bagaimanapun, jika mayat telah melalui proses penguraian, ia berkemungkinan tenggelam dan keadaan itu akan menyukarkan usaha mengesan mangsa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Shukri, setakat ini, tiada penemuan mayat baharu dikesan meskipun radius pencarian telah diperluaskan pada keluasan 343 batu nautika persegi berbanding semalam.

Katanya, pencarian pada hari ini memberi tumpuan ke arah utara perairan Pulau Pangkor.

“Semalam, kami mendapati mayat-mayat yang ditemukan dihanyutkan ke arah utara pada jarak kira-kira 14 hingga 17 batu nautika.

“Operasi pencarian hari ini lebih tertumpu ke kawasan utara dengan aset digerakkan lebih banyak ke lokasi berkenaan khususnya aset udara,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak tujuh aset digunakan dalam operasi berkenaan membabitkan sebuah pesawat udara dan enam aset laut.

“Buat masa ini, jumlah aset masih dikekalkan kerana skop pencarian masih tertumpu di kawasan sama. Bagaimanapun esok, pesawat udara mungkin digerakkan lebih jauh dari lokasi asal pencarian,” katanya.

Op Carilamat dilancarkan susulan kejadian sebuah bot yang membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini pada Isnin lal.

Aduan mengenai insiden itu diterima kira-kira pukul 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum Op Carilamat diaktifkan pada pukul 6 pagi.

Seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan pada hari kejadian.

Setakat semalam, tujuh mangsa terdiri daripada enam wanita dan seorang lelaki ditemukan masing-masing empat orang pada kedudukan 13 batu nautika dari Pulau Talang berhampiran Segari manakala tiga orang lagi di perairan Pengkalan Bharu dekat Pantai Remis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN