“Kami capai siapa yang sempat”

“Kami capai siapa yang sempat”

MADIHI ketika menceritakan kisahnya menyelamat mangsa bot karam di Pantai Belawai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELAWAI: “Kami nampak dari seberang sungai, ada bot karam orang terkapai-kapai sambil meminta tolong lalu kami terus ambil perahu, capai siapa yang sempat.”

Demikian cerita seorang nelayan, Madihi Basah, 63, yang bersama-sama anak saudaranya menjadi penyelamat ke atas tujuh mangsa yang selamat dalam tragedi bot karam di Pantai Belawai, petang semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang, ketika dia bersama-sama anak saudaranya sedang berehat di sebuah pondok berhampiran pantai berkenaan.

“Tiba-tiba kami nampak ada bot karam, semua orang terapung dan terkapai-kapai sambil minta tolong. Kami terus naik perahu dan capai siapa yang sempat,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, suasana ketika itu sangat mencemaskan namun mereka nekad menyelamatkan mangsa satu demi satu menggunakan perahu kecil miliknya.

“Perempuan, budak, lelaki, semua kami tarik masuk dalam perahu. Ada dua orang tidak sempat kami bantu, masa itu cuma fikir mahu selamatkan nyawa saja,” ujarnya.

Katanya, mereka mengambil masa beberapa pusingan membawa mangsa ke tebing secara berperingkat, namun hanya tujuh daripada sembilan yang berjaya dinaikkan itu masih bernyawa.

Dalam tragedi itu, empat mangsa disahkan meninggal dunia, enam hilang dan tujuh selamat, dengan kesemua mangsa adalah warga negara Indonesia.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan melibatkan pasukan bomba, polis, maritim, Pengawal Pantai Sarawak, Rela dan penduduk kampung.

Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan manakala mangsa yang belum dijumpai terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Mangsa yang selamat pula terdiri daripada empat lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Kejadian dipercayai berlaku ketika bot fiber yang membawa 17 orang penumpang serta barang-barang keperluan harian itu sedang dalam perjalanan dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke jeti ladang kelapa (Zon Pelita). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×