Saya pernah berada di fasa terasa diri lebih berjaya daripada suami - Reen Rahim - Utusan Malaysia

Saya pernah berada di fasa terasa diri lebih berjaya daripada suami – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sama seperti pasangan lain, pelakon, Reen Rahim mengakui dirinya tidak terlepas daripada melalui ujian rumah tangga selepas bergelar isteri kepada Hazim Zainal.

Kata Reen, dia pernah membiarkan perasaan ego memakan dirinya sendiri ketika lebih berjaya dari suaminya yang akhirnya mendorongnya untuk bersikap kurang ajar dan tidak hormat.

“Saya pernah berada di fasa apabila saya terasa diri lebih berjaya daripada suami sendiri. Kami berdua diuji pada awal perkahwinan. Hazim Zainal diuji dengan kekurangan, manakala saya diuji dengan terlebih daripada cukup.

“Saya ada duit. Saya boleh beli apa sahaja yang saya mahu. Saya rasa saya boleh lakukan semuanya sendiri. Dan perlahan-lahan, saya mula hilang rasa hormat terhadap suami tanpa saya sedari.

“Cara percakapan saya menjadi kasar. Hati pula semakin keras. Apabila suami tidak mampu memberikan apa yang saya mahukan, saya mula memandangnya kecil,” katanya di Instagram.

Meskipun dirinya berkelakuan sedemikian, Reen meluahkan rasa kagum dengan tahap kesabaran suaminya yang seperti air ketika dirinya tidak mampu mengawal bahang kemarahan.

“Ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa sabarnya dia dan kuatnya doa yang dipanjatkannya. Walaupun emosi saya tidak menentu sekejap dingin, sekejap baik dan lama-kelamaan menjadi semakin ego serta keras hati, dia tetap tidak melawan.

“Dia terus menunjukkan contoh yang baik, sentiasa berlembut dan mengalah. Dia juga tetap menjaga imannya. Saya ingatkan masalah kami ketika itu ialah duit. Rupanya, masalah sebenar ialah hati saya yang belum difahamkan Allah tentang makna sebuah perkahwinan.

“Sampai satu tahap, saya penat dengan diri sendiri. Penat hidup dalam ego. Penat mahu sentiasa menang. Penat merasakan diri sentiasa betul. Dari situ saya mula berdoa agar Allah lembutkan hati saya sekiranya saya bersalah,” kongsinya.

Dalam masa sama, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu mengakui fasa tersebut membuatkan dia sedar bahawa seorang isteri seharusnya menjadi penyokong terhebat suaminya untuk terus berjaya.

“Perlahan-lahan Allah mengubah cara saya memandang suami. Saya mula nampak usahanya. Saya mula nampak penat lelahnya. Saya mula belajar menghormatinya walaupun dia belum memiliki segalanya.

“Dan perkara yang paling saya tidak sangka, apabila saya berubah, suami saya juga berubah. Dia menjadi lebih kuat. Lebih yakin. Lebih berjaya.

“Hari ini saya faham, kadang-kadang seorang lelaki tidak memerlukan perempuan yang sentiasa mendesaknya untuk menjadi hebat. Dia cuma memerlukan seorang isteri yang percaya bahawa dirinya mampu menjadi hebat,” jelasnya.

Reen bagaimanapun bersyukur apabila memiliki ibu bapa yang menjadi pendorong buat mereka yang masih hijau dalam memahami ilmu berumah tangga

“Syukur, kami mempunyai ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam menasihati serta menambah ilmu kepada kami ketika kami berdua masih belum memahami erti sebenar perkahwinan. Sehingga hari ini, doa mereka masih memimpin kami,” ujarnya.

Untuk info, Reen dan Hazim mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022. Bagaimanapun pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN