Nurmazilah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bank Islam - Utusan Malaysia

Nurmazilah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bank Islam

DR Nurmazilah Datuk Mazhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan pelantikan Dr. Nurmazilah Datuk Mazhan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat, berkuat kuasa 7 Mei 2026.

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, Nurmazilah merupakan tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang audit, pelaporan kewangan, pengurusan risiko serta tadbir urus korporat.

Beliau kini turut menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat Bank Islam, BIMB Securities Sdn. Bhd. sejak Ogos 2025, selain menganggotai Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor dan Malaysia Professional Accountancy.

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Haji Bakar berkata, pihak bank amat menanti sumbangan Nurmazilah dalam memacu pertumbuhan syarikat serta memperkukuh tadbir urusnya ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Dr. Nurmazilah. Kepakaran luas dan pengalaman mendalam yang dibawa beliau pastinya akan memberi nilai tambah yang besar kepada organisasi,” katanya.

Nurmazilah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah di beberapa organisasi besar termasuk CIMB Bank Berhad serta TH Plantations Berhad.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Anggota Pihak Berkuasa di Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Memulakan kerjaya di Arthur Andersen & Co., beliau kemudiannya menceburi bidang akademik selama lebih sedekad di Universiti Malaya (UM) dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Sekolah Perniagaan Siswazah UM.

Nurmazilah juga dikenali sebagai pejuang pelaksanaan Pelaporan Bersepadu (IR) di peringkat nasional dan antarabangsa, selain aktif menjalankan program latihan berkaitan kelestarian dan kawalan kewangan sejak 2015. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN