Jualan Proton e.MAS lepasi 20,000 unit - Utusan Malaysia

Jualan Proton e.MAS lepasi 20,000 unit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pro-Net mengumumkan pencapaian luar biasa apabila lebih 20,000 unit kenderaan di bawah jenama Proton e.MAS kini berada di atas jalan raya di seluruh negara, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju mobiliti elektrik nasional.

Kejayaan itu didorong oleh permintaan luar biasa terhadap model Proton e.MAS 7 PHEV (plug-in hybrid) yang kini dinobatkan sebagai model PHEV paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dengan catatan 1,755 unit pendaftaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net Zhang Qiang berkata, melepasi angka 20,000 unit tersebut merupakan bukti kepercayaan pelanggan yang semakin kukuh terhadap keupayaan teknologi elektrik Proton.

“Pencapaian ini mencerminkan perubahan ketara dalam pasaran apabila lebih ramai pemandu di Malaysia kini yakin untuk beralih kepada mobiliti elektrik. Sejak dilancarkan Februari lalu, Proton e.MAS 7 PHEV terus mencatatkan momentum dengan lebih 6,500 tempahan terkumpul.

“Pada April 2026 sahaja, model ini merekodkan 1,013 pendaftaran yang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju segmen PHEV,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, rangkaian Proton e.MAS mencatatkan 20,509 pendaftaran terkumpul setakat tahun ini. Jumlah itu terdiri daripada 10,067 unit Proton e.MAS 7 dan 8,687 unit Proton e.MAS 5.

Prestasi jualan bagi April 2026 kekal teguh dengan sumbangan 3,421 pendaftaran merentasi semua model.

Mengulas mengenai pertumbuhan pesat tersebut, Qiang berkata, Pro-Net kini fokus untuk memperkasakan ekosistem sokongan bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lancar untuk para pelanggan.

“Seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, kami komited memperluas rangkaian pengedar, kapasiti perkhidmatan selepas jualan serta kemudahan akses pengecasan EV di lokasi-lokasi strategik,” katanya

Setakat ini, rangkaian Proton e.MAS mempunyai 53 operasi pengedar di seluruh negara yang disokong oleh 10 pusat ketukan dan cat (body and paint).

Selain itu, pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) kini sedang diperluas kepada 40 lokasi bagi memenuhi keperluan teknikal dan perkhidmatan pelanggan yang semakin bertambah.

Langkah pengukuhan ekosistem ini bertujuan memastikan masa tindak balas yang lebih pantas serta kesiapsiagaan teknikal yang tinggi, sekali gus membina keyakinan jangka panjang masyarakat terhadap penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN