Tindakan KWSP jual aset ideal - Utusan Malaysia

Tindakan KWSP jual aset ideal

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat mengambil langkah ideal jika dakwaan bahawa dana simpanan pekerja itu sedang dalam proses menjual aset-asetnya adalah benar.

Penyelidik Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), Amirul Hamza Abdullah berkata, terdapat aset yang dilihat sesuai dijual dalam keadaan pandemik ketika ini yang menjadikan pelaburan dalam beberapa sektor tidak meng­untungkan.

“Keputusan KWSP dalam penjualan tujuh aset milik mereka merupakan langkah yang ideal dalam usaha mengawal aliran tunai dalam KWSP, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran wang caruman sebelum tempoh matang akan meningkat melalui program i-Sinar.

“Keputusan untuk menjual aset seperti Avillion Admiral Cove di Port Dickson, Negeri Sembilan berpotensi dalam membantu memperkukuh prestasi pulangan pelaburan (ROI) KWSP dalam segmen hartanah dan infrastruktur, terutamanya daripada industri hospitaliti yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

The Edge Malaysia Weekly kelmarin melaporkan KWSP telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh aset yang terletak di Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Ne­geri Sembilan akan dijual, dengan anggaran nilai keseluruhan pada RM350 juta ke RM450 juta.

Akhbar itu yang memetik sumber berkata, sekurang-kurangnya tiga daripada aset tersebut ialah bangunan pejabat yang sedang dihuni agensi itu termasuk dua di Kuala Lumpur, iaitu Bangunan KWSP di Jalan Raja Laut dan Changkat Raja Chulan serta Ba­ngunan KWSP Damansara Fairways di sini.

Sementara itu, Amirul Hamza berpendapat, KWSP wajar meneroka lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor yang le­bih moden dan terkini yang lebih stabil dan tidak mudah terjejas.

“Sejajar dengan norma baharu, KWSP disaran untuk menerokai peluang pelaburan dalam bidang yang lebih moden seperti syarikat permulaan atau serumpun dengannya di samping terus memperkukuh pelaburan dalam segmen hartanah dan infrastruktur.

“Ini kerana segmen ber­kenaan mempunyai kelebihan tersendiri yang mana pulangan pelaburan tidak akan terjejas secara langsung kepada kemungkinan kenaikan inflasi dan ini amat penting kepada kedudukan kewangan KWSP serta ekonomi negara apabila berada dalam fasa pemulihan kelak,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini mengumumkan bahawa, ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun dibenarkan membuat pengeluaran i-Sinar dari simpanan Akaun1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.

Setakat ini, KWSP mempu­nyai 14.6 juta ahli dengan kira-kira sembilan juta pencarum aktif dan menguruskan dana berjumlah kira-kira RM940 bilion.

Disember lalu, dana pencen itu mengumumkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM17.33 bilion untuk suku ketika berakhir 30 September 2020, walaupun berhadapan ketidaktentuan dalam pasaran modal.

Penganalisis berpendapat, KWSP tidak berdepan masalah untuk membayar dividen yang munasabah untuk tahun kewangan 2020.

Bagaimanapun, mereka men­jangkakan dividen yang disumbangkan KWSP untuk 2021 berkurangan akibat aktiviti mencairkan aset untuk menampung pengeluaran i-Sinar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN