Tercapaikah sasaran KDNK 7.5 peratus? - Utusan Malaysia

Tercapaikah sasaran KDNK 7.5 peratus?

Kerajaan mengunjurkan ekonomi negara tumbuh antara 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negatif 5.6 peratus pada 2020, mampukah ekonomi Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan antara 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini?

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Malaysia berada di atas landasan tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi ditetapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mustapa berkata, keyakinan itu berdasarkan peruntukan besar Belanjawan 2021 sebanyak RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan akan membantu menggerakkan semua sektor ekonomi.

Beliau menjelaskan, ia turut dipacu dengan pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan memperkenalkan langkah untuk menyusun semula struktur ekonomi negara supaya lebih mampan dan berdaya maju antaranya dasar digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.

“Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin telah pun mula merancang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Dalam mesyuarat NEC baru-baru ini, wakil sektor pembuatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memberi gambaran kepada kerajaan bahawa mereka perlukan lebih banyak pekerja tahun ini,” katanya di sini baru-baru ini.

MUSTAPA MOHAMED

Mustapa berkata, pertumbuhan ekonomi dunia yang positif akan mendorong merangsang ekonomi tempatan dengan permintaan yang lebih tinggi.

Kata beliau, Tabung Kewa­ngan Antrabangsa (IMF) me­ngunjurkan perdagangan dunia meningkat sebanyak 8.1 peratus bergantung kepada pemben­dungan pandemik Covid-19 dan keberkesanan dasar yang diperkenalkan.

Beliau berkata, kerajaan memantau setiap perkemba­ngan ekonomi melalui Jabatan Perangkaan, Kementerian Kewangan, Bank Negara, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Ekonomi (EAC) dan Unit Perancang Ekonomi (UPE).

Jelasnya, EAC bermesyuarat pada setiap minggu untuk membuat keputusan segera sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan juga telah melancarkan lima pakej ekonomi sejak Mac tahun lalu sehingga Januari yang melibatkan nilai sebanyak RM320 bilion.

“Pakej-pakej ini telah mengurangkan kesan Covid-19 ke atas ekonomi di samping mengurangkan beban rakyat khusus­nya B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN