Petronas berjaya kurangkan kos - Utusan Malaysia

Petronas berjaya kurangkan kos

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penarafan dan tunai kekal kukuh, rosot nilai RM21 bilion

PETALING JAYA: Petronas mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) termasuk rosot nilai sebanyak RM21 bilion bagi tahun kewangan 2020, berbanding keu­ntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kumpulan syarikat minyak negara itu mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan impak dan harga minyak mentah yang rendah.

Langkah-langkah yang diambil berjaya mengurangkan kos kumpulan kepada RM172.7 bilion (tidak termasuk rosot nilai) berbanding RM197.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Kumpulan itu turut berjaya melepasi sasaran kos yang ditetapkan pada Mei tahun lalu dengan mengurangkan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal) masing-masing sebanyak 12 peratus dan 21 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas telah berjaya mengharungi tempoh paling mencabar dalam sejarahnya dan beliau menjangkakan industri minyak dan gas akan terus menerima impak ketidaktentuan disebabkan peristiwa-peristiwa sepanjang 2020.

“Walaupun begitu, kumpulan terus komited untuk mengambil apa sahaja langkah yang diperlukan untuk pulih sementara memastikan keselamatan rakyat dan gangguan yang minimum kepada perniagaan.

“Kami fokus dalam intervensi taktikal kami ke arah memelihara nilai dan terus mendapatkan penyelesaian berpusatkan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Petronas menca­tatkan PAT tidak termasuk ­rosot nilai sebanyak RM10.5 bilion pada 2020, penurunan 78 peratus berban­ding RM48.8 bi­lion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya disebabkan perolehan tidak direalisasikan lebih rendah yang sebahagiannya diseimbangkan kos ditanggung kumpulan yang lebih rendah.

Syarikat itu mencatatkan perolehan sebanyak RM178.7 bilion pada 2020 berbanding RM240.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan penyusutan harga minyak mentah yang menyaksikan purata harga direalisasikan lebih rendah untuk semua produk selain gangguan permintaan yang menyebabkan jumlah jualan lebih rendah daripada gas diproses, produk petroleum dan gas asli cecair.

Syarikat itu mencatatkan rosot nilai ke atas aset seba­nyak RM31.5 bilion pada tahun tersebut.

“Walau bagaimanapun, pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal kukuh pada RM55.3 bilion,” katanya.

Untuk suku berakhir 31 Di­sember 2020, syarikat itu merekodkan PAT sebelum rosot nilai pada RM200 juta berbanding RM9.4 bilion pada suku sama tahun lalu, terutamanya disebabkan perolehan lebih rendah dan per­belanjaan lain bersih yang lebih tinggi.

“Ini sebahagiannya diatasi perbelanjaan cukai yang lebih rendah. Dalam suku berakhir 31 Disember 2020, rosot nilai ke atas aset yang dicatatkan ialah RM1.3 bilion, menjadikan PAT RM1.1 bilion berbanding PAT RM4.1 bilion pada suku sama tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya