Setelah hampir emat tahun sejak mula tercetusnya Revolusi Industri (IR) keempat, dunia telah melalui titik peralihan daripada era Teknologi Informasi kepada sebuah landskap digital baharu yang juga dikenali sebagai era Digital Marketplace. Perubahan tersebut turut memberi pengaruh kepada pengembangan platform digital dan media sosial dalam memenuhi tuntutan trend pasaran dan gaya hidup. Antara yang semakin menarik perhatian usahawan dalam talian pada masa kini adalah penawaran ciri-ciri baharu Instagram yang dinamakan Instagram Shopping.
Instagram merupakan antara platform media sosial yang semakin popular bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi mula berkembang merangkumi semua peringkat demografi dan profesion pengguna. Berdasarkan statistik Instagram 2020 yang di ketengahkan oleh Website Hosting Rating menyatakan, ia kini mempunyai lebih daripada 1 bilion pengguna bulanan yang aktif dan lebih 500 juta pengguna aktif setiap hari serta menduduki tangga kedua pilihan media sosial selepas Facebook.
Instagram Shopping merupakan satu daripada ciri-ciri baharu yang ditawarkan kepada para pemilik akaun tersebut untuk membeli-belah. Ia boleh dikunjungi oleh semua pengguna Instagram melalui tombol ikon beg tangan pada bahagian bawah susur masa melalui paparan telefon pintar. Terdapat ruangan kategori, carian serta paparan katalog bagi memudahkan pengguna meninjau pelbagai produk yang diniagakan di situ.
Secara tidak langsung, Instagram Shopping membantu membuka peluang kepada para peniaga, usahawan dan organisasi perniagaan untuk memperkenal serta mempromosi produk-produk yang dipasarkan, seterusnya menjadikan akaun Instagram perniagaan sebagai sebuah kedai atau platform e-dagang dengan produk yang boleh dibeli secara terus oleh pengguna Instagram yang lain.
Instagram Shopping hanya menawarkan ruang platform marketplace kepada perniagaan yang memasarkan produk fizikal, tetapi tidak untuk perniagaan yang menawarkan perkhidmatan. Terdapat beberapa syarat bagi mengaktifkan Instagram Shopping, iaitu anda perlu terlebih dahulu mengubah akaun Instagram kepada akaun berstatus perniagaan (business account). Anda juga perlu memiliki Facebook Page dan laman e-dagang, atau menggunakan salah satu platform rakan dagang Instagram iaitu Shopify atau BigCommerce untuk diintegrasikan bersama Instagram tersebut.
Perkara seterusnya, anda perlu ke halaman profil Instagram dan membuka pengaturan (setting) yang boleh didapati pada bahagian Menu. Pada bahagian pengaturan tersebut, pilih bahagian ‘Business’ dan seterusnya pilih ‘Set Up Instagram Shopping’. Akhir sekali, pilih ‘Accept Term’ bagi memastikan anda bersetuju bahawa produk yang ingin dipasarkan memenuhi syarat polisi Instagram dan tidak melanggar peraturan perniagaan serta perundangan negara.
Sekiranya telah melakukan semua syarat di atas, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapat maklum balas daripada Instagram. Selepas itu, anda sudah dibenarkan untuk memanfaatkan segala kemudahan Instagram Shopping untuk meluaskan capaian pelanggan dan prospek pasaran di Instagram. Pastikan juga agar anda memuat naik gambar-gambar yang bermutu, menarik dan kreatif berserta maklumat produk yang jelas sebagai katalog perniagaan.
Instagram turut memudahkan setiap pengguna untuk meluaskan capaian promosi produk-produk yang telah di ketengahkan di Instagram Shopping melalui pelbagai ciri-ciri sedia ada seperti memuat naik status gambar di susur masa Instagram atau melalui IG Story dan IG Live. Ia membantu menarik perhatian dan engagement lebih ramai prospek pelanggan dalam meningkatkan lagi kepercayaan pasaran terhadap penjenamaan dan perniagaan.
Justeru itu, pemasaran melalui Instagram Shopping merupakan satu daripada kaedah yang kreatif dan menjimatkan. Jika dilaksanakan secara terancang, ia mampu menjadi elemen yang mengukuhkan lagi potensi perniagaan dalam arus kemajuan trend digital kini dan masa hadapan.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN









