PKP: Ekonomi hilang RM10 bilion - Utusan Malaysia

PKP: Ekonomi hilang RM10 bilion

PERTUMBUHAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka terjejas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan proklamasi darurat. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama dua minggu bermula 13 hingga 26 Januari ini diunjur mengurangkan sebanyak 0.7 peratus atau kira-kira RM10 bilion daripada anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Secara harian, Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang turut menjangkakan ekonomi bakal mengalami kerugian sebanyak RM750 juta, lebih tinggi daripada nilai kerugian semasa pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) sebanyak RM200 juta.

Menurut Ivy, ia bagaimanapun kurang ‘menyakitkan’ berbanding jumlah kerugian harian sebanyak RM2.4 bilion semasa PKP pertama pada Mac hingga Mei 2020.

“Unjuran kami juga mengambil kira risiko penurunan yang timbul berdasarkan kepada kemungkinan penangguhan pengagihan vaksin Covid-19 dengan kerajaan menjangkakan bahawa ia memerlukan 18 bulan untuk memberi suntikan kepada 70 hingga 80 peratus rakyat berbanding dengan senario asas vaksinasi kami pada akhir tahun 2021.

“Pada masa sama, memandangkan risiko PKP boleh dilanjutkan melebihi 26 Januari, sokongan dasar tambahan mungkin diperlukan untuk terus menyokong ekonomi.

“Kerajaan boleh mempercepat atau meningkatkan langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021 termasuk pembayaran tunai namun dibebani dengan kekangan fiskal terutamanya melibatkan had hutang kerajaan,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya kelmarin mengumumkan langkah pencegahan lebih tegas melalui pelaksanaan tiga kawalan pergerakan.

Menurut beliau, enam negeri dikenakan PKP iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri lagi iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKPB manakala Perlis serta Sarawak dikenakan PKP Pemulihan (PKPP).

Mengulas lanjut, Ivy turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengkaji penurunan dasar monetari dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 20 Januari ini.

Firma penyelidikan itu turut tidak menolak pemotongan lanjut kadar dasar semalaman (OPR) yang pada ketika ini berada pada paras 1.75 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya