NEBRASKA: Seorang wanita cedera selepas dipercayai terkena tembakan senapang patah yang secara tidak sengaja dilepaskan oleh seekor anjing di dalam sebuah kenderaan di Nebraska, Amerika Syarikat (AS).
Menurut KNOP News 2, polis dipanggil ke lokasi selepas laporan mengenai letupan melibatkan senapang patah.
Insiden berlaku di bandar Scottsbluff apabila polis menerima laporan bunyi letupan di sebuah kedai serbaneka.
Siasatan mendapati tembakan itu tercetus ketika seekor anjing di tempat duduk belakang bergerak dan secara tidak sengaja melepaskan senapang patah yang berisi peluru, menyebabkan kenderaan rosak dan seorang wanita yang berada berhampiran terkena serpihan peluru di lengan.
Mangsa bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius selepas menerima rawatan di hospital.
Pihak berkuasa turut memaklumkan memandu dengan senapang patah berisi peluru di dalam kenderaan adalah menyalahi undang-undang di Nebraska.- AGENSI










