PIDM gugur hampir semua pengecualian perlindungan - Utusan Malaysia

PIDM gugur hampir semua pengecualian perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (SPMTI).

Penambahbaikan tersebut membolehkan PIDM menggugurkan hampir semua pengecualian kepada skop perlindungan sistem tersebut.

Menurut PIDM, ia kini melindungi semua manfaat takaful dan insurans yang ketika ini ditawarkan dalam pasaran.

“Walau bagaimanapun, manfaat dalam nilai bukan ringgit, manfaat polisi yang dikeluarkan di luar Malaysia serta manfaat kematangan, serahan dan pendapatan daripada bahagian unit polisi berkaitan pelaburan masih tidak dilindungi PIDM.

“Perlindungan yang disediakan oleh PIDM adalah sehingga had-had tertentu, sekiranya berlaku kegagalan (muflis) ahli penginsurans,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, penambahbaikan tersebut memastikan SPMTI kekal terkini dan relevan dengan penawaran produk yang bersifat semasa.

Kata beliau, penambahbaikan itu juga membolehkan lebih banyak manfaat layak dilindungi dan seterusnya memastikan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna.

“Kami juga mahu memudahkan konsumer memahami skop dan had-had perlindungan STMPI yang mungkin sebelum ini agak kompleks dan sukar difahami.

“Memandangkan perlindungan takaful dan insurans dapat meringankan beban akibat keadaan yang tidak dapat dijangka, seperti apa yang sedang berlaku akibat pandemik Covid-19, kami berharap perlindungan SPMTI yang lebih meluas akan memberi ketenangan fikiran kepada pengguna.

“Kami juga berharap ini akan menggalakkan lebih ramai orang melanggan sijil takaful dan polisi insurans,” katanya.

SPMTI mula berkuat kuasa pada 31 Disember 2010 untuk menyediakan perlindungan kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans di samping Sistem Insurans Deposit yang dikendali oleh PIDM sejak penubuhannya pada 2005.

Menurut PIDM, ahli penginsuransnya adalah semua pengendali takaful berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 selain pengendali takaful yang dilesenkan untuk menjalankan perniagaan takaful semula semata-mata dan pengendali takaful antarabangsa.

Senarai ahli tersebut termasuk syarikat insurans di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 selain syarikat yang dilesenkan untuk menjalankan perniagaan insurans semula semata-mata dan Danajamin Nasional Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.