Dakwaan ugutan: Polis ambil keterangan Azam Baki dalam masa terdekat

Dakwaan ugutan: Polis ambil keterangan Azam Baki dalam masa terdekat

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diambil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, setakat ini dua saksi sudah dirakam percakapan iaitu Albert dan seorang peguam yang dikatakan menyampaikan maklumat berhubung dakwaan ugutan itu.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh Albert sebelum satu sidang akhbar diadakan yang mendakwa ugutan itu diterima melalui seorang peguam.

“Selepas percakapan Albert diambil, kita telah mengenal pasti peguam itu sebelum keterangannya diambil semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Menurut Kumar, siasatan masih berjalan dan polis perlu meneliti semua sudut sebelum membuat rumusan berhubung dakwaan berkenaan.

“Siasatan memerlukan masa dan perlu dibuat secara telus. Semua sudut perlu diliputi sebelum satu rumusan boleh dibuat mengenai siasatan itu,” katanya.
Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas laporan polis dibuat Albert pada 13 Mei lalu.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan nasihat lanjut,” katanya.

Baru-baru ini, Albert membuat laporan polis mendakwa Azam mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Presint 7 Putrajaya pagi ini, sehari selepas Azam menamatkan perkhidmatan enam tahunnya yang penuh kontroversi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN