Dua penjenayah aktif samun bersenjata maut ditembak

Dua penjenayah aktif samun bersenjata maut ditembak

M KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kumpulan penjenayah bersenjata yang dipercayai aktif di beberapa kawasan panas di Selangor dan Melaka berjaya ditumpaskan apabila dua ahlinya maut dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Seri Putera, di sini hari ini.

Kumpulan yang dipercayai mempunyai kira-kira 10 ahli dan bergerak aktif sejak setahun lalu itu menyasarkan kediaman berhampiran lebuh raya bagi memudahkan mereka melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mereka juga dipercayai memilih kawasan yang kurang mempunyai kamera televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa.

“Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan ini ialah Sungai Buloh, Kajang, Bangi, Banting dan beberapa lokasi lain di Selangor selain Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Kumar berkata, suspek berusia 20 dan 46 tahun itu ditembak mati selepas bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dalam di Jalan Persiaran Seri Putera, Bandar Seri Putera kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

Katanya, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D9 JSJ Bukit Aman menjalankan rondaan cegah samun di sekitar Kajang dan Bangi sebelum terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis kemudian mengekori kenderaan itu sejauh kira-kira 500 meter sebelum mengarahkan suspek berhenti.

“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan terus memecut laju sebelum berjaya dipintas di tepi jalan.

“Sebaik dipintas, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis menyebabkan pihak polis terpaksa berbalas tembakan,” jelasnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk revolver, enam butir peluru, tiga kelongsong peluru, empat bilah parang serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Jelasnya, kedua-dua itu mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan.

“Kita percaya masih terdapat beberapa lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN