KUALA LUMPUR: Tahun 2020 pergi dengan 1,001 cerita duka lebih-lebih lagi kepada ekonomi negara.
Malaysia melalui tahun itu dengan penuh dugaan dan pancaroba apabila berhadapan pelbagai cabaran daripada global mahu pun domestik.
Penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, mengheret ekonomi ke tahap terburuk.
Keputusan sukar itu terpaksa dilaksanakan selepas jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat negara ini semakin meningkat. Sehingga semalam sebanyak 113,010 kes terkumpul dilaporkan di negara ini.
Penularan wabak itu menyebabkan pertumbuhan banyak sektor ekonomi terutama pelancongan dan penerbangan terjejas teruk sehingga ribuan pekerja terpaksa diberhentikan.
Pelaksanaan PKP ternyata telah memberi implikasi besar terhadap ekonomi dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merumuskan kerugian kira-kira RM63 bilion pada Mei lalu.
Perkembangan itu mendorong kerajaan memperkenalkan empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana Tambahan (Prihatin PKS+), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) bernilai sehingga RM305 bilion.
Langkah fiskal itu disusuli dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 1.75 peratus iaitu paras terendah sejak 2004.
Bagaimanapun, ekonomi tetap berhadapan cabaran besar sehingga membuatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sehingga 17.1 peratus pada suku kedua, prestasi terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1998 selepas hanya berkembang 0.7 peratus suku pertama 2020.
Ringgit dan prestasi Bursa Malaysia juga berhadapan cabaran dengan nilai mata wang negara itu susut sehingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat pada awal pelaksanaan PKP iaitu paras terendah sejak April 2017. Prestasi itu didorong oleh kejatuhan harga minyak mentah global sehingga di bawah AS$30 dolar (RM120.79) setong.
Indeks penanda aras FBM KLCI pula menjunam sehingga 1,219.72 mata pada 19 Mac.
Pembukaan semula ekonomi secara berperingkat membuatkan kedudukannya semakin pulih dengan kerajaan menganggarkan pertumbuhan ekonomi 2020 menguncup sebanyak 4.5 peratus sebelum kembali berkembang antara 6.5 hingga 7.5 peratus 2021.
Perkara itu turut dapat dilihat apabila KDNK hanya menguncup 2.7 peratus dalam suku ketiga 2020 selepas sekatan pergerakan dilonggarkan dan aktiviti perniagaan kembali dibuka.
Untuk tahun 2021, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan, ekonomi Malaysia lebih baik didorong oleh penemuan vaksin serta usaha memberikan suntikan Covid-19 yang telah pun berjalan serata dunia.
Sehubungan itu, beliau berkata, KDNK diunjurkan tumbuh pada kadar 7.3 peratus pada 2021 atas dasar faktor vaksin serta dasar fiskal dan monetari yang mengembang.
“Ini memberi isyarat bahawa proses pembukaan ekonomi global akan berlangsung meskipun terdapat ketidakpastian yang masih lagi jelas apabila angka jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Afzanizam turut menjangkakan harga-harga komoditi termasuk minyak mentah dan minyak sawit mentah serta pergerakan ringgit mengukuh.
Katanya, negara-negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya atau OPEC+ masih lagi melaksanakan dasar mengawal pengeluaran minyak yang mana pada Januari 2021 kuota pengurangan pengeluaran minyak ditetapkan 7.2 juta tong sehari.
“Bagi prestasi indeks FBM KLCI pula, kami mengunjurkan indeks penanda aras berada pada 1,750 mata penghujung 2021.
“Jangkaan terhadap peningkatan keuntungan syarikat-syarikat yang disenaraikan terutama bagi sektor seperti perbankan, sarung tangan getah dan perladangan yang dijangka memacu FBM KLCI ke tahap lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










