fbpx

17 September 2021, 12:09 am

  TERKINI

Petronas kurangkan pegangan

Pengurangan pegangan tersebut dilakukan melalui pelaksanaan runding niaga dipercepatkan ekuiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengurangkan pegangannya dalam syarikat perkapalan, MISC Berhad (MISC) dan Kumpulan KLCCP Stapled, kelmarin.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, pengurangan pegangan tersebut dilakukan melalui pelaksanaan runding niaga dipercepatkan ekuiti.

“Pengurangan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha pengoptimuman portfolio berterusan Petronas bagi memastikan portfolio yang mampan dan teguh serta bersedia untuk merebut peluang perniagaan baharu.

“Jualan saham ini akan membawa penyertaan serta pemilikan pelabur tempatan dan asing yang lebih besar dalam syarikat-syarikat tersebut, selain untuk me­ningkatkan kecairan saham,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jumlah saham yang dijual tidak dinyatakan dalam ke­nyataan tersebut.

Menurut laporan The Edge yang memetik lembaran terma penjualan tersebut, Petronas berhasrat menjual 266 juta saham MISC, bersamaan pega­ngan sebanyak 5.96 peratus dengan harga tawaran RM6.67 sesaham menjadikan nilai blok saham tersebut sebanyak RM1.77 bilion.

Sementara itu, menurut laporan sama, Petronas menawarkan 140 juta sekuriti terjamin atau 7.75 peratus daripada pegangannya dalam KLCCP yang merangkumi KLCC Pro­perty Holdings Berhad dan Dana Pelaburan Harta Tanah (REIT) KLCC kepada pelabur dengan RM7.12 setiap sekuriti.

Ini menjadikan jumlah jualan sekuriti tersebut sebanyak RM996.80 juta.

Petronas berkata, mereka masih memiliki pegangan majoriti dalam MISC dan KLCCP Stapled yang akan terus menjadi pembekal penyelesaian utama buat syarikat itu.

Sementara itu, Petronas melalui anak syarikatnya, Pe­tronas Suriname E&P B.V (PSEPBV) mengumumkan penemuan hidrokarbon pertama di Surinam setelah berjaya menggerudi telaga Sloanea-1 yang terletak di Blok 52.

Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Emiliana Rice-Oxley berkata, hasil positif daripada telaga itu akan memberi dorongan kepada Petronas untuk terus melakukan pene­rokaan di Surinam.

“Kami mengalu-alukan kerjasama lebih banyak dengan rakan kongsi kami, ExxonMobil selain mengeratkan hubu­ngan dengan kerajaan Republik Surinam,” katanya.

PSEPBV adalah pengendali Block 52 dan mempunyai 50 peratus faedah penyertaan bersama ExxonMobil dan Pengeluar Suriname B.V. yang memegang baki 50 peratus. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN