- Utusan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan projek pembangunan pada tahun hadapan akan dipercepatkan bagi menggerakkan semula ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana pelaksanaan projek pembangunan memberikan kesan pengganda yang besar kepada negara sekali gus memanfaatkan kesejahteraan rakyat selain merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Mustapa berkata, semua kementerian juga telah diarah mengemukakan perancangan pelaksanaan projek pembangunan untuk tahun hadapan kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara sebelum 31 Disember ini.

“Perancangan itu termasuklah jangkaan tarikh untuk panggilan tender, tarikh bermula pelaksanaan dan perlu me­ngenal pasti beberapa masalah yang mungkin timbul,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mustapa berkata, sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan kerajaan bagi pelaksanaan projek kecil dan sederhana dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dan PRIHATIN yang dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi peruntukan itu, katanya, sebanyak 8,157 daripada 8,559 projek sudah ditawarkan kepada kontraktor kelas G1, G2 dan G3 di bawah PRE sehingga 30 November lalu.

Katanya, bagi projek di bawah PRIHATIN pula, seba­nyak 3,758 daripada 4,658 projek telah pun selesai ditawarkan kepada kontraktor kelas yang sama.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM69 bilion untuk per­belanjaan pembangunan (DE) dalam Belanjawan 2021 dengan sebanyak 45 peratus daripadanya adalah projek sambungan dan 55 peratus untuk projek baharu.

“Peranan perbelanjaan sektor awam adalah kritikal dalam tempoh ini apabila pihak swasta, termasuk perusahaan kecil dan sederhana menghadapi cabaran untuk menggerak dan memulih­kan ekonomi,” katanya.

Menurut Mustapa, bagi 3,834 projek sambungan, ia tidak ada masalah untuk melaksanakan projek-projek berkenaan, namun sebanyak 2,558 projek baharu juga penting untuk membuat perancangan awal bagi memastikan pelaksanaan pada tahun hadapan adalah lancar.

Beliau berkata, dalam Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pemba­ngunan bagi Tahun 2021 yang dipengerusikannya bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali semalam, pelbagai kaedah dikenal pasti untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek sambungan.

Ini termasuk katanya, memastikan projek-projek baharu dapat segera dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Mesyuarat hari ini (semalam) mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur tersebut yang akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara langkah-langkah itu yang dilaksanakan pada tahun ini ialah Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan selewat-lewatnya 31 Ogos lalu selain memantau rapi prestasi perbelanjaan pembangunan melalui sesi libat urus Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kementerian.

Jabatan Kerja Raya juga katanya, melaksanakan kaedah prakelayakan dengan memendekkan tempoh SST dari enam bulan ke tiga bulan; melonggarkan peraturan berkaitan perolehan kerajaan serta mewujudkan mekanisme pemantauan khusus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya