KANGAR: Abu Bakar Hamzah menegaskan tidak ada sebarang unsur pengkhianatan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam soal pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.
Kata Pengerusi Bersatu Negeri Perlis itu, beliau berada di kedudukan Menteri Besar ketika ini adalah atas perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tegas beliau, naratif pengkhianatan sering dimainkan oleh sesetengah pihak itu perlu dihentikan segera, sebaliknya Pas dan Bersatu perlu kembali fokus mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Tidak pernah ada unsur khianat, Tuanku Raja Perlis menitahkan supaya kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar dan kita mengikut proses tersebut dengan beradab. Bersatu menjunjung titah Tuanku Raja Perlis dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda sama ada untuk melantik seorang Menteri Besar dari Bersatu atau Pas mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Pelantikan Menteri Besar mengikut saluran betul, teratur dan beradab dan kita sama sekali tidak pernah khianat dalam isu di Perlis ini. Pelantikan Menteri Besar adalah kuasa budi bicara Tuanku Syed Sirajuddin dan baginda juga telah memberi ruang secukupnya kepada Pas menghantar calon pada masa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Biro Politik Bersatu dalam kenyataan media enam muka surat antaranya menolak tuduhan Pas bahawa parti itu khianat dalam isu pertukaran Menteri Besar Perlis.
Sebaliknya parti itu mendedahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang gagal mematuhi titah Raja Perlis untuk menghadap baginda bagi membincangkan isu berkenaan.
Bersatu menegaskan, tuduhan khianat itu adalah melampau memandangkan tindakan parti dalam isu Menteri Besar Perlis adalah teratur dan beradab kerana menjunjung titah Raja Perlis.
Dalam kenyataan itu, Bersatu turut mendedahkan bahawa Raja Perlis telah menitahkan supaya Presiden Bersatu dan Presiden Pas menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 untuk membincangkan isu kedudukan Menteri Besar.
Bagaimanapun, sesi menghadap tersebut terpaksa dibatalkan kerana Abdul Hadi atas sebab-sebab tertentu tidak dapat hadir dan seterusnya Raja Perlis menitahkan kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan baginda.
Pada masa sama, Bersatu juga menegaskan bahawa tuduhan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)-ADUN parti itu menarik sokongan kepada Menteri Besar juga adalah tidak benar, sebaliknya mereka hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu mengikut kuasa budi bicara baginda.
Sebelum itu, Abu Bakar memberi peringatan bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN, dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, Bersatu dan Pas masih kekal di dalam kerajaan PN dan tetap bersama dalam mendepani PRU16.
“Saya juga ingin nasihatkan agar hentikan adu domba dalam isu berkenaan, sebaliknya terus kekal bersama dan mengukuhkan PN,” katanya. – UTUSAN










