Wujudkan akta ‘tidak mufliskan’ penghutang - Utusan Malaysia

Wujudkan akta ‘tidak mufliskan’ penghutang

Rosland Mohd Arif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mencari kaedah penyelesaian terbaik termasuk mewujudkan akta yang tidak membenarkan tindakan muflis dikenakan terhadap penghutang.

Presiden Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, bank sebagai institusi utama sukar bekerjasama termasuk berunding serta tidak adil dengan memberi tekanan kepada penghutang tanpa mengira situasi mereka.

Selain itu, katanya, langkah mewujudkan undang-undang baharu itu wajar ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia di samping kesan kepada negara dan sosial jika berlaku­ peningkatan individu muflis.

“Bank tidak ada jalan penyelesaian. Yang mereka tahu membankrapkan terus penghutang. Sepatutnya bank perlu berunding berapa jumlah bayaran yang boleh dibuat si peng­hutang bukannya mendesak mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang sehingga ada pemungut yang maki penghutang dan memberi ketakutan.

“Kami sendiri pernah berdepan dengan bank yang tidak boleh bekerjasama. Ada bank jawab telefon tetapi bila kami serah kertas kerja dan berbincang tentang bayaran bulanan mereka membisu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum ini mencatatkan purata sebanyak 1,000 orang muflis setiap bulan tahun lalu.

Berdasarkan statistik jabatan itu, kumpulan yang paling banyak terjejas dan mengalami masalah muflis adalah golongan muda berusia antara 35 tahun sehingga 44 tahun.

Dalam pada itu, Rosland menjangkakan lebih banyak pihak yang diisytiharkan muflis selepas tamatnya tempoh moratarium bulan lalu.

“Berapa tahun sekalipun moratarium dilanjutkan, masalah ini tidak akan selesai. Banyak orang hilang pekerjaan sekarang. Daripada bank bayar RM8,000 untuk guaman dan bankrapkan orang, lebih baik duduk berunding.

“Apa yang menyedihkan ada terus diisytiharkan bankrap walaupun kes masih berjalan,” ujarnya.

Tambahnya, beliau sedia mengadakan perjumpaan dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN