fbpx

4 Disember 2020, 11:44 am

  TERKINI

Pemimpin APEC meterai Wawasan Putrajaya 2040

PEMIMPIN 21 negara APEC menunjukkan deklarasi Visi Pasca-APEC 2020 yang dipersetujui sempena Majlis Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang diadakan secara maya di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - TUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua 21 pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengakhiri mesyuarat ke-27 forum itu dengan bersepakat memeterai sebuah visi baharu yang dinamakan Wawasan Putrajaya APEC 2040 khusus untuk menjana masa depan rantau berkenaan.

Wawasan Putrajaya 2040 dipersetujui bagi memastikan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040, demi kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang semua anggota forum.

Empat perkara penting yang digariskan semua anggota APEC dalam Wawasan Putrajaya 2040 adalah untuk meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan dengan meneruskan kemajuan penting di bawah Matlamat Bogor termasuk memajukan integrasi ekonomi di rantau tersebut.

Hal demikian termasuk memastikan Asia Pasifik terus digerakkan pasaran menerusi agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) yang akan menyumbang kepada usaha serantau yang berkualiti tinggi dan komprehensif.

Selain itu, pemimpin ekonomi APEC turut bersetuju untuk memastikan penyertaan ekonomi inklusif melalui inovasi dan digitalisasi teknologi.

Semua anggota forum turut berhasrat memastikan persekitaran perkembangan ekonomi digital termasuk membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil, sederhana dan mikro di samping mengakui kepentingan kerjasama dalam memudah cara aliran data bagi mengukuhkan kepercayaan pengguna dan perniagaan dalam transaksi digital.

Dalam masa yang sama, Wawasan Putrajaya 2040 juga menekankan reformasi struktural di mana persekitaran diperkukuh teknologi berdorongkan pasaran yang mampu meningkatkan peluang ekonomi untuk semua segmen masyarakat.

Pemimpin APEC turut mahu memastikan kerjasama ekonomi dan teknikal ke arah masa hadapan lestari terus diperkukuh bagi menghadapi perubahan persekitaran termasuk perubahan iklim, cuaca ekstrem dan bencana alam.

Kesemua 21 pemimpin APEC sebelum itu mengadakan sesi bergambar sambil mengangkat dokumen Deklarasi Kuala Lumpur yang pertama kali diadakan secara maya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Muhyiddin turut menyerahkan simbolik hak penganjuran sidang kemuncak APEC 2021 kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern secara maya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dalam sidang akhbar secara maya memberitahu, Wawasan Putrajaya 2040 menawarkan landasan melangkaui Matlamat Bogor yang diguna pakai sejak 1994.

Beliau berkata, sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia telah diberi kepercayaan memimpin proses penyusunan visi melangkaui tahun 2020 rantau ini.

“Kami telah berusaha selama berbulan-bulan dan bekerjasama dengan semua anggota APEC dengan kapasiti sebagai arkitek utama dokumen penting ini yang dijangka menjadi rujukan utama rantau ini bagi tahun-tahun akan datang.

“Walaupun berhadapan cabaran disebabkan pandemik, hal ini tidak menghalang semua pemimpin mencapai kata sepakat bergerak menjangkaui 2020.

“Saya rasa ini penting. Tumpuan kukuh dalam merealisasikan matlamat sosio-ekonomi asas pertama kali digariskan di Bogor, 26 tahun lalu. Wawasan Putrajaya ini adalah untuk meneruskan usaha Malaysia terhadap masa hadapan APEC,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN