Keuntungan MRCB turun 63 peratus - Utusan Malaysia

Keuntungan MRCB turun 63 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada kadar RM920,000 dalam suku ketiga tahun ini iaitu penguncupan 63.46 peratus daripada RM2.52 juta tempoh sama 2019.

Menurut MRCB dalam kenya­taan, syarikat itu juga merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 20 peratus antara Julai hingga September 2020 berjumlah RM297.6 juta berbanding RM372.74 juta pada 30 September 2019.

Katanya, penurunan pendapatan dan keuntungan bersih itu disebabkan progres pembinaan perlahan ekoran pematuhan ketat dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan di Victoria, Australia sekali gus memberi kesan terhadap projek 1060 Carnegie di Melbourne.

“Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2020, Kumpulan merekodkan pendapatan berjumlah RM890.6 juta dan kerugian sebelum cukai sebanyak RM187.5 juta yang sebahagian besar disebabkan peruntukan rosot nilai akibat pandemik semasa suku kedua 2020.

“Apabila menolak peruntukan tersebut, MRCB mencatatkan keuntungan sebanyak RM15 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini walaupun kebanyakan proses pembinaan dan gangguan lain semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Hartanah MRCB menyumbang peningkatan pen­dapatan sebanyak 32 peratus kepada RM489.4 juta, namun menyaksikan penurunan keuntungan operasi kepada RM34.3 juta dalam sembilan bulan sehingga 30 September lalu berbanding masing-masing RM371.4 juta dan RM69.8 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan keuntungan hadir menerusi pendapatan daripada projek 1060 Carnegie di Melbourne selepas penyelesaian kewangan dan penyerahan unit yang telah dibeli selain progres pembinaan Sentral Suites di KL Sentral.

Dalam masa yang sama, Bahagian Persekitaran, Pembinaan dan Kejuruteraan pula mencatatkan perolehan sebanyak RM363.2 juta yang kebanyakan besarnya disumbangkan oleh Kwasa Sentral, Pakej CB2 Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam, Pakej CA2 Lebih Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang dan projek Pakej Laluan Kedua Transit Aliran Massa (MRT).

Bahagian ini mencatatkan kerugian operasi berjumlah RM198.7 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020 disebabkan rosot nilai pada suku kedua sebanyak RM197.4 juta.

Syarikat kerjasama Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang dimiliki MRCB sebanyak 50 peratus turut menyumbang RM1.6 juta keuntungan selepas cukai berbanding RM1.24 juta untuk tempoh sama tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya