Data masih belum cukup, Imran Ajmain selesa fokus majlis kahwin - Utusan Malaysia

Data masih belum cukup, Imran Ajmain selesa fokus majlis kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Imran Ajmain bukanlah asing bagi pencinta karya romantis tanah air, apatah lagi deretan lagu popularnya terus menjadi siulan hingga kini. Bagaimanapun, di sebalik reputasi mega itu, penyanyi kelahiran Singapura ini rupa-rupanya lebih selesa memilih pentas persembahan berskala kecil.

Pendirian itu diambil bukan kerana dia enggan melangkah lebih jauh, tetapi disebabkan setiap keputusannya sentiasa berpaksikan kepada data. Sebagai seorang pengguna tegar media sosial, Imran memanfaatkan platform digital untuk mengukur kedudukan sebenar portfolio seninya.

“Saya gunakan sebaiknya saya punya YouTube yang setahun sekali saya akan muat naik video. Saya akan tengok setiap hari apa yang saya muat naik itu. Dari situlah kita boleh tengok data kita, penggemar kita dan penonton kita dari mana.

“Kalau saya mahu buat yang lebih besar, saya rasa data saya itu belum cukup. Saya rasa saya tidak layak lagi sekiranya mahu buat persembahan yang berskala besar.

“Saya bukan tidak mahu buat, tapi saya kena jujur dengan data saya sendiri. Saya tidak boleh buat sesuatu yang saya sendiri tidak nampak kekuatannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Disebabkan saiz pasaran Imran yang berpijak di bumi yang nyata itu, dia lebih gemar mengatur siri jelajah kafe. Format persembahan ini lebih mengehadkan jumlah penonton bawah seribu orang yang dirasakannya lebih intim.

“Sebab saya jenis yang menghargai saya punya penggemar. Jadi, bila kita ulang persembahan yang formatnya itu kurang daripada seribu orang, kita dapat jumpa semua orang.

“Tengah-tengah lagu, saya boleh mula jalan-jalan dan salam dengan orang. Selepas itu, video itu nanti penuhlah di media sosial. Kamera itu betul-betul dekat, saya rasa itu sangat-sangatlah intim.

“Bila kita kecilkan skala, saya boleh tengok orang satu-satu. Itu yang saya rasa paling mahal dalam persembahan saya,” ujarnya.

Selain siri jelajah kedai kopi, profil Imran turut menjadi tumpuan hangat dalam kalangan penganjur majlis perkahwinan atau walimatulurus. Kebelakangan ini, timbul pula khabar angin di media sosial yang mendakwa kadar bayarannya mencecah puluhan ribu ringgit.

Ada yang mendakwa kos mengundang Imran boleh menyebabkan bajet sesebuah majlis perkahwinan melambung tinggi secara drastik. Bagaimanapun, tanggapan salah faham yang tular menerusi pelbagai hantaran ‘meme’ itu disangkal olehnya.

“Saya baca yang itu dan ramai orang berkata. Ada satu meme yang dia kata, ‘wow, bajet kahwin sebigini, katering sebigini dan RM100,000, RM200,000, RM300,000 itu habis pada artis’. Bagi saya, saya rasa tidak adalah artis yang ambil jumlah sebanyak itu semata-mata untuk nyanyi satu ke dua lagu dekat majlis kahwin,” tegasnya.

Dalam pada itu, Imran menyorot kembali kembara seninya. Imran menyifatkan lagu-lagu ciptaannya sudah sebati dengan momen-momen romantis masyarakat sejak 21 tahun lalu. Kelebihan itu membuatkannya tidak kisah dituduh kurang eksklusif kerana kerap menyanyi di kenduri kahwin.

“Untuk saya, saya datang daripada satu era di mana seribu tahun itu jadi titipan dari bibir ke bibir untuk ramai orang. Sehinggia sekarang sudah sampai ke cucu. Prinsipnya mudah, asalkan mempunyai kelapangan masa dan lokasi majlis tidak terlalu jauh, saya sedia memenuhi undangan tanpa meletakkan syarat yang ketat.

“Ada orang cakap, ‘oh, adakah awak tidak jaga eksklusiviti sebab awak selalu nyanyi dekat majlis kahwin?’ Saya rasa itu saya punya rezeki sepenuhnya sebab dua lagu saya baik Seribu Tahun atau Selamat Ulang Tahun Sayang selalu dikaitkan dengan detik-detik romantis,” ulasnya.

Bagi mengelakkan kekeliruan harga, pengurusannya telah menyediakan satu sistem borang khas untuk menapis bakal pelanggan. Melalui kaedah digital ini, pihak pengurusan dapat membezakan antara individu yang benar-benar serius ataupun sekadar bertanya.

“Tapi untuk saya sebarkan berapa harga saya itu, tidaklah. Saya biasa biar mereka datang mendekati pengurusan saya dan kita ada borang yang kita senangkan kerja antara berdua pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN