KUALA LUMPUR: Prestasi Bursa Malaysia dijangka terus menurun selagi Belanjawan 2021 tidak diluluskan Parlimen.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan akan menyebabkan ketidaktentuan dalam penetapan dasar-dasar untuk negara yang melibatkan pelbagai perkara meliputi infrastruktur dan juga inisiatif meringankan beban rakyat.
“Ia akan berpanjangan sehingga Parlimen membuat persidangan untuk meluluskan belanjawan atau tidak esok.
“Jika tidak lulus, kita boleh jangka prestasi Indeks Penanda Aras Utama KLCI akan terus menurun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Indeks penanda aras KLCI ditutup pada paras 1,578.39 mata dalam sesi dagangan semalam, turun 19.09 mata berbanding 1,588.53 mata dalam sesi dagangan Isnin dengan 8.321 bilion saham bertukar tangan bernilai RM4.284 bilion.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 250 berbanding 1093 manakala 321 kaunter tidak berubah.
Sementara itu, menurut Adam, satu lagi faktor kemerosotan Bursa Malaysia ialah penutupan secara berperingkat kilang-kilang syarikat Top Glove di Klang, Selangor.
Kata beliau, penutupan itu pasti memberi impak kepada pengeluaran sarung tangan mereka.
“Oleh itu, saham Top Glove telah jatuh sebanyak 7.5 peratus (semalam).
“Memandangkan Top Glove adalah ahli indeks FBM KLCI, kejatuhan harga saham Top Glove memberi impak yang kuat terhadap prestasi FBM KLCI,” katanya. – UTUSAN










