Kaji harga pakej internet - Utusan Malaysia

Kaji harga pakej internet

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi bagi berdepan masalah capaian internet yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) menyarankan kerajaan mengkaji semula harga pakej internet yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) bagi memberi akses internet mampu milik khususnya kepada penduduk di luar bandar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presidennya, Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata, jika penurunan harga pakej internet dapat dilaksanakan, sudah tentu menggembirakan ramai pengguna kerana dapat menggunakan perkhidmatan dengan kadar lebih murah, manakala PKS pula dapat menjalankan perniagaan dengan lebih rancak sekali gus beralih kepada digitalisasi tanpa kos tinggi.

“Kami pernah mencadang­kan pakej-pakej internet yang disediakan oleh telco ini diturunkan kerana ia terlalu tinggi berbanding di luar negara.

“Walaupun cadangan itu diterima baik, namun telco-telco tidak menurunkan harga pakej malah hanya menaik taraf kepada penambahan data secara percuma atau kelajuan internet sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Mohd. Azrul, krisis pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif kepada ekonomi namun dalam masa sama, kesan positif dapat dilihat melalui digitalisasi yang sepatutnya dapat memberi tawaran pakej mampu milik dan kualiti telekomunikasi yang tinggi kepada rakyat.

Sebelum ini, semua pelanggan pasca bayar dan prabayar syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile mene­rima internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April lalu dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Sehubungan itu, beliau ber­kata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi bagi berdepan masalah capaian internet yang lemah.

“Kita sedar kerajaan sedang fokus pada digitalisasi, namun capaian internet perlulah diberikan secara percuma kepada semua rakyat terutama di luar bandar. Capaian ini memboleh­kan mereka melakukan perniagaan, pembelian atau pembayaran dalam talian, tidak perlu bergantung kepada pakej-pakej tertentu,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan perlu menyediakan latihan dan kemahiran untuk PKS supaya mereka boleh ‘berdiri sendiri’ tanpa bergantung kepada platform e-dagang yang sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN