KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan petang ini disifatkan paling mencabar dalam tempoh 63 tahun negara mencapai kemerdekaan susulan ancaman pandemik Covid-19 yang memberi kesan meruncing kepada ekonomi dan hutang negara meningkat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berhadapan pelbagai permintaan parti politik, namun jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) bijak menyusun strategi, Belanjawan 2021 berpotensi menjadi ‘bajet’ terbaik dalam sejarah kerana turut mengambil kira input-input daripada lawan.
Perdana Menteri memaklumkan belanjawan kali ini adalah kesinambungan inisiatif keprihatinan kerajaan bagi membantu rakyat menempuh waktu sukar.
Beliau juga menolak dakwaan tanggapan kononnya Belanjawan 2021 adalah `belanjawan pilihan raya’.
Utusan Malaysia menerima pelbagai reaksi daripada lapisan masyarakat yang mahukan kerajaan membela nasib mereka yang semakin hari semakin terhimpit dengan masalah kewangan, pemberhentian kerja dan sebagainya.
Sektor pelancongan contohnya di Melaka perlu dipulihkan kerana ia menjadi nadi kepada masyarakat negeri itu terutamanya kumpulan peniaga.
Masyarakat Orang Asli di Kelantan pula mahukan peruntukan pembangunan infrastruktur di kampung mereka diberi perhatian.
Golongan petani dan pesawah di utara tanah air dan nelayan di pantai timur masing-masing mengharapkan belanjawan akan memberi berita gembira ketika kehidupan dilanda pelbagai kesan akibat Covid-19.
Dalam pada itu, kumpulan pemandu teksi yang ketiadaan pelancong meminta kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M) yang dikatakan banyak meringankan beban mereka sebelum ini.
Bagi pemandu e-hailing yang lebih banyak ‘melengung’ akibat kekurangan pelanggan turut merayu kerajaan menyalurkan bantuan secara bulanan sehingga kemelut ekonomi selesai.
Sektor koperasi yang terkilan selepas tidak menerima peruntukan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini berharap kerajaan tidak mengabaikan mereka dalam Belanjawan 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai bagaimanapun berkata, kerajaan tidak patut ‘menikus’ dengan menerima bulat-bulat cadangan mana-mana pihak terutama pemimpin politik, hanya kerana ingin Belanjawan 2021 diluluskan majoriti ahli Parlimen.
Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan di bawah teraju Muhjyiddin perlu tegas ketika melayan setiap tuntutan agar perkara-perkara bersifat ‘populis’ tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2021.
“Pertama kali dalam sejarah apabila input pembangkang diambil kira dalam belanjawan. Ini satu keistimewaan kerana kerajaan secara dasar bersetuju mengambil kira input pembangkang dalam menyediakan belanjawan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Barjoyai berkata, faktor kewangan bukanlah kekangan yang dilihat begitu menekan dalam belanjawan kali ini meskipun sumber konvensional seperti hasil petroleum terus merosot sumber kewangan masih banyak antaranya dengan melakukan pinjaman.
“Sebenarnya ini masa yang baik untuk membuat pinjaman kerana kadar faedah rendah. Kerajaan tidak akan ditegur atau dianalisis kerana membuat belanjawan yang sangat besar defisitnya kerana ini waktu kecemasan.
“Bukan sahaja berlaku di Malaysia tapi di seluruh dunia, setiap negara akan cuba melakukan yang terbaik buat rakyatnya,” tegasnya.
Sementara itu, pakar ekonomi daripada Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan perlu bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan perlu menyemak semula pelaksanaan inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2021 pada suatu masa kelak.
Katanya, ini kerana, belanjawan yang dirangka pastinya tidak akan kekal bersifat ‘statik’, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan semasa yang sukar diramal ketika pandemik yang berpanjangan.
“Kalau tidak diluluskan, maka pentadbiran kerajaan akan lumpuh. Nombor dua tidak akan ada pertolongan dan pemberian kepada rakyat. Semuanya akan terhenti kalau belanjawan tidak diluluskan,” jelasnya.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM297 bilion bersamaan 18.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Daripada jumlah itu, sebanyak RM241 bilion adalah perbelanjaan mengurus dan RM56 bilion lagi perbelanjaan pembangunan. – UTUSAN










